Jumaat, 25 Disember 2020 | 7:59am
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

17 daerah di Sabah dalam zon jingga, merah

KOTA KINABALU: Zon merah dan jingga COVID-19 di Sabah meningkat mendadak membabitkan 17 daerah, mengatasi zon kuning dan hijau di 10 daerah, semalam.

Ia berikutan peningkatan daerah dalam zon jingga, semalam disebabkan pertambahan kes baharu positif COVID-19 di beberapa daerah yang sebelum ini berada dalam zon kuning.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), enam zon jingga direkodkan, semalam, bertambah dua daerah berbanding empat daerah, kelmarin dan dua daerah pada Selasa,.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata dua daerah beralih dari zon kuning ke zon jingga semalam ialah Beaufort dan Kinabatangan, masing-masing mencatat satu kes baharu.

Katanya, empat daerah sedia ada dalam zon jingga iaitu Kudat, Keningau, Tenom dan Kinabatangan masing-masing merekodkan antara lima hingga 10 kes baharu positif COVID-19, semalam.

Peningkatan zon jingga dari zon kuning itu, secara tidak langsung mengurangkan daerah dalam zon kuning dengan bilangannya menurun kepada sembilan daerah.

"Daerah kekal dalam zon kuning yang turut mencatat kes baharu ialah Kunak dengan 16 kes, Sipitang (empat) dan Beluran (satu).

"Enam daerah selebihnya iaitu Kota Marudu, Pitas, Telupid, Tongod, Kuala Penyu dan Tambunan tidak mencatat sebarang kes, manakala Nabawan kekal satu-satunya daerah dalam zon hijau," katanya dalam kenyataan media perkembangan semasa COVID-19 Sabah, malam tadi.

Zon merah pula kekal di 11 daerah dengan Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi, sebanyak 58 kes, diikuti Penampang (33), Tawau (29), Lahad Datu (21), Sandakan (19), Ranau (12), Putatan (lapan), Kota Belud dan Papar masing-masing enam kes, Semporna (empat) serta Tuaran (tiga).

Secara keseluruhan, Sabah mencatat 249 kes baharu semalam dengan dua kematian, masing-masing di Semporna dan Sandakan, menjadikan kumulatif setakat ini sebanyak 35,415 kes.

Sementara itu, seramai 235 orang dilaporkan sembuh semalam menjadikan kumulatif sembuh seramai 33,118 orang, manakala 1,675 pesakit masih dirawat iaitu 605 orang di hospital dan 1,070 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Masidi berkata, kes semalam turut membabitkan empat individu yang dikesan positif selepas menjalani ujian saringan untuk merentas negeri, masing- masing dua warga negara dan bukan warga negara yang mahu ke Semenanjung dan Labuan.

Kerajaan Sabah sebelum ini membenarkan rentas negeri dengan syarat individu yang ingin keluar dari negeri ini perlu menjalani ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum bertolak dan hanya dibenarkan keluar jika keputusan saringan adalah negatif.

"Daripada 249 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 149 kes atau 59.8 peratus berpunca daripada saringan kontak rapat, diikuti saringan bergejala 47 kes (18.9 peratus), saringan sedia ada sebanyak 13 kes (5.2 peratus), saringan kendiri membabitkan enam kes (2.4 peratus), manakala 34 kes (13.7 peratus) adalah kategori lain," katanya.

Berita Harian X