Rabu, 23 Disember 2020 | 12:22pm

Vaksin AstraZeneca dijual pada harga kos, tiada keuntungan

KUALA LUMPUR: Syarikat farmaseutikal United Kingdom (UK), AstraZeneca menjual 6.4 juta dos vaksin kepada Malaysia, tanpa mengaut sebarang keuntungan daripada proses perolehan.

Presiden Negara AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal, ketika mengesahkan perkara itu berkata vaksin 'AZD1222' yang akan menampung bekalan sebanyak 10 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini dijangka dibekalkan menjelang separuh pertama tahun depan.

"Sebanyak 6.4 juta dos vaksin AZD1222 daripada AstraZeneca/University of Oxford dijual tanpa sebarang keuntungan, ketika tempoh pandemik.

"Apabila kerajaan, sektor swasta dan akademik saling bekerjasama, banyak kejayaan berupaya dilakar demi melindungi nyawa rakyat serta mewujudkan Malaysia yang lebih sihat," katanya dalam kenyataan, semalam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam mengumumkan bahawa kerajaan memeterai perjanjian dengan AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin COVID-19 atau tambahan sebanyak 10 peratus.

Pertambahan itu sekali gus menjadikan bekalan vaksin yang bakal diperoleh ketika ini ialah 40 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini, bersandarkan bekalan firma farmaseutikal Pfizer, AstraZeneca dan Pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX.

Susulan perjanjian kedua perolehan vaksin itu, Sanjeev berkata AstraZeneca akan memperluaskan kapasiti pengeluaran global syarikat berkenaan bagi menjamin aspek bekalan AZD1222 untuk Malaysia.

"Ini selari kemajuan fasa percubaan klinikal di Amerika Syarikat (AS), UK, Brazil, Afrika Selatan, Jepun dan Russia.

"Keputusan analisis interim program fasa ketiga kendalian University of Oxford menunjukkan vaksin ini selamat dan berkesan dalam menangani gejala COVID-19, selain berupaya mengekang risiko kesihatan serta dimasukkan ke hospital," katanya.

Sanjeev berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mendapatkan kelulusan kawal selia vaksin, berteraskan fakta sains.

Berita Harian X