Ahad, 20 Disember 2020 | 3:30pm
MAQIS Pulau Pinang merampas lebih 25 tan limau mandarin ketika melakukan pemeriksaan sebuah kontena di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT). - NSTP/ihsan MAQIS
MAQIS Pulau Pinang merampas lebih 25 tan limau mandarin ketika melakukan pemeriksaan sebuah kontena di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT). - NSTP/ihsan MAQIS

MAQIS rampas lebih 25 tan limau mandarin

BUTTERWORTH: Lebih 25 tan limau mandarin bernilai lebih RM100,000 yang dibawa masuk ke negara ini dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang ketika melakukan pemeriksaan sebuah kontena di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, kelmarin.

Dalam operasi pada jam 5.40 petang, sepasukan penguat kuasa MAQIS memeriksa sebuah kontena dari China yang baharu masuk ke pelabuhan.

Pengarah MAQIS negeri, Zarina Ramli, berkata pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat 1,854 kotak mengandungi limau mandarin seberat 25,956 kilogram (kg) bernilai RM108,887.14.

"Siasatan yang dijalankan mendapati ia melanggar syarat permit import iaitu gagal mematuhi Penggredan, Pembungkusan, dan Pelabelan (3P) sebagaimana yang dinyatakan dalam sijil 3P.

"Oleh itu, pihak kita membuat rampasan semua limau mandarin itu untuk siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zarina berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian tidak mematuhi piawaian yang dikehendaki pada permit import MAQIS adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

MAQIS mengambil langkah serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Berita Harian X