Ahad, 20 Disember 2020 | 1:15pm
Keratan berita mengenai salah guna kuasa bagi meluluskan lesen perniagaan kepada warga asing.
Keratan berita mengenai salah guna kuasa bagi meluluskan lesen perniagaan kepada warga asing.

Senarai hitam, rampas lesen niaga disewakan kepada pendatang asing - Annuar

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas menyenarai hitam pemegang lesen perniagaan yang menyewakan lesen itu kepada warga asing akan diambil bersama rampasan serta merta dokumen terbabit.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, menegaskan perbuatan memberi lesen kepada warga asing, bukan sekadar menyalahi undang-undang negara, malah turut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk pendedahan BH hari ini mengenai warga asing sanggup membayar RM3,000 sebulan untuk mendapatkan ruang niaga berhampiran tapak sementara Pasar Borong Harian Selayang Kuala Lumpur, dekat sini melalui bantuan 'orang dalam' persatuan peniaga tertentu, beliau berkata, tidak ada kompromi terhadap perbuatan itu.

"Kita sudah menetapkan garis panduan yang jelas dalam hal ini, bahawa tidak akan ada kompromi jika pemegang lesen 'sub let' kepada warga asing. Jika kita kesan perkara itu, mereka akan disenarai hitam dan lesen berkenaan dirampas serta merta," katanya.

Bercakap kepada media selepas menyampaikan barangan makanan asas dan pelitup muka anjuran Zon dan Sub Zon Parlimen Cheras di sini, hari ini, Annuar berkata, lesen perniagaan hanya diberikan kepada rakyat tempatan.

"Semasa memohon pun, mereka (rakyat tempatan) perlu menunjukkan bukti yang sahih sebagai warganegara. Berapa ramai rakyat kita yang susah mendapat lesen walaupun hanya untuk perniagaan kecil-kecilan?

"Kita perlu konsisten dalam mendahulukan mereka dan seterusnya membela nasib golongan ini," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang didapati terbabit menguruskan lesen untuk warga asing berniaga, termasuk dengan memanjangkan perbuatan mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, dasar kerajaan sudah menetapkan bahawa warga asing tidak dibenarkan memiliki lesen perniagaan, sama ada di tapak sementara Pasar Borong Harian Selayang Kuala Lumpur atau pasar tani berhampiran.

Annuar berkata, peraturan ditetapkan selama ini tidak boleh dipandang sebelah mata dan ia harus dikuatkuasakan bagi menjamin kebajikan peniaga tempatan.

"Ada wakil persatuan datang bertemu saya baru-baru ini, merayu supaya kelonggaran dalam isu lesen diberikan. Rayuan atas perkara sebegitu tidak akan diberi perhatian dan tindakan tegas perlu diambil jika terbukti ia (lesen) disalah guna pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Mengikut maklumat diperoleh BH, 'kemasukan' pendatang asing untuk berniaga di sekitar tapak sementara Pasar Borong Harian Selayang Kuala Lumpur itu dan pasar tani berdekatan, diuruskan 'orang dalam' daripada persatuan peniaga tertentu.

Sumber memberitahu, persatuan peniaga yang disyaki terbabit dalam urusan berkenaan akan menghantar permohonan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan menggunakan nama pemohon tempatan, tetapi lesen yang diperoleh selepas itu akan disewakan kepada pendatang asing.

Bayaran antara RM1,000 hingga RM3,000, bergantung kepada barangan dijual yang dikenakan dalang kegiatan itu, jauh lebih tinggi berbanding hanya lebih RM900 setahun dikenakan DBKL untuk peniaga tempatan.

Tapak sementara bertentangan Pasar Borong Kuala Lumpur itu dibuka bagi menempatkan sebahagian peniaga dari pasar borong harian berkenaan yang kini sedang dibina baharu bermula 2018 dan dijadual siap sepenuhnya tahun depan.

BH difahamkan, operasi pasar borong harian itu yang mengandungi 750 lot untuk peniaga berdaftar dengan DBKL, diterajui lima persatuan peniaga dan penjaja.

Berita Harian X