Ahad, 20 Disember 2020 | 12:34pm
Warga asing sanggup bayar RM3,000 sebulan untuk berniaga di lot berhampiran Pasar Borong Selayang. - NSTP/Asyraf Hamzah
Warga asing sanggup bayar RM3,000 sebulan untuk berniaga di lot berhampiran Pasar Borong Selayang. - NSTP/Asyraf Hamzah

'Orang dalam' urus lesen niaga warga asing

KUALA LUMPUR: Peniaga warga asing dipercayai sanggup membayar sehingga RM3,000 sebulan untuk mendapatkan ruang berniaga berhampiran tapak sementara Pasar Borong Harian Selayang Kuala Lumpur, dekat sini serta pasar tani berdekatan.

Mengikut maklumat diperoleh BH, 'kemasukan' pendatang asing berkenaan untuk berniaga diuruskan 'orang dalam' daripada persatuan peniaga tertentu yang mengenakan bayaran jauh lebih tinggi berbanding hanya lebih RM900 setahun dikenakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk peniaga tempatan.

Tapak sementara itu yang bertentangan Pasar Borong Kuala Lumpur dibuka bagi menempatkan sebahagian peniaga dari pasar borong harian berkenaan yang kini sedang dibina baharu bermula 2018 dan dijadual siap sepenuhnya tahun depan.

Operasi pasar borong harian itu yang mengandungi 750 lot untuk peniaga berdaftar dengan DBKL, diterajui lima persatuan peniaga dan penjaja. Ia terletak berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur dan berhadapan dengan pasar tani di seberang jalan.

Sebahagian warga asing yang berniaga di kawasan Pasar Borong Harian Selayang.
Sebahagian warga asing yang berniaga di kawasan Pasar Borong Harian Selayang.

BH difahamkan, kebanyakan peniaga disyaki warga asing beroperasi di hadapan pasar tani berkenaan dipercayai mengambil kesempatan dasar 'Wilayah Bebas Berniaga' diperkenalkan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi tempoh enam bulan bermula 15 November lalu sehingga April 2021.

Walaupun warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bebas berniaga, mereka yang mahu berbuat demikian masih perlu mendapatkan kelulusan DBKL melalui prosedur yang dipermudahkan seperti diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada 10 November lalu.

Dalam kalangan peniaga warga asing, terutama Myanmar yang beroperasi di sekitar Pasar Borong Harian Selayang Kuala Lumpur, ada yang mempunyai pelanggan tersendiri dan turut menyediakan khidmat jual beli secara pandu lalu.

Sumber memberitahu BH, persatuan peniaga yang disyaki terbabit dalam urusan berkenaan akan menghantar permohonan kepada DBKL dengan menggunakan nama pemohon tempatan, tetapi lesen yang diperoleh selepas itu akan disewakan kepada peniaga asing.

Bagi mengaburi pihak berkuasa, petak niaga warga asing itu turut ditempatkan berhampiran peniaga berlesen dan seorang penduduk tempatan ditugaskan memantau perniagaan warga asing dengan dibayar gaji bulanan.

"Penduduk tempatan itu akan mengambil alih urusan di gerai peniaga warga asing berkenaan jika ada penguatkuasaan dijalankan oleh pihak berkuasa," kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (Cawangan Pasar Borong Harian Selayang Kuala Lumpur), Shaharudin Dorani, mendakwa hampir 50 warga asing dikenal pasti menjalankan perniagaan di sekitar kawasan pasar terbabit.

Beliau mendakwa, mereka hanya menggunakan borang permohonan kebenaran berniaga kepada DBKL yang disediakan persatuan peniaga tertentu sebagai sokongan walaupun sebenarnya belum mendapat kelulusan untuk berniaga.

Katanya, beberapa persatuan peniaga lain sudah mengemukakan aduan berhubung isu itu kepada DBKL dan kini menunggu tindakan.

"Mereka (peniaga warga asing) kembali berniaga di sini sejak kira-kira tiga bulan lalu. Mereka juga dikatakan membayar antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan kepada dalang kegiatan ini, bergantung pada barangan yang dijual.

"Operasi perniagaan mereka pula antara jam 6 pagi hingga 12 tengah hari. Kalau ada rondaan oleh pihak berkuasa, mereka akan letak seorang rakyat tempatan di gerai untuk mengaburi pihak penguat kuasa.

"Selain itu, ada juga sesetengah gerai peniaga menggunakan khidmat 'penjaga' yang berperanan memberi penjelasan kepada pihak berkuasa," katanya ketika ditemui BH.

Shaharudin yang juga Setiausaha Sessi Pasar Borong Kuala Lumpur, mendakwa kehadiran peniaga warga asing menimbulkan pelbagai masalah, antaranya menyebabkan kawasan persekitaran kotor selain mengganggu lalu lintas, malah khemah untuk gerai juga dipasang kekal.

"Peniaga warga asing, terutama Myanmar sudah ada pelanggan tersendiri. Mereka buat konsep pandu lalu, sekali gus menjejaskan peniaga tempatan di pasar borong harian ini," katanya turut mendakwa, persatuan peniaga yang mendalangi kegiatan itu tidak dianggotai mana-mana individu kenamaan.

"Saya khuatir pasar borong harian ini yang kini sedang dibina dengan kos RM100 juta akan menjadi projek gajah putih jika DBKL tidak menghapuskan peniaga warga asing sekarang," katanya.

Isu warga asing membolot perniagaan di pasar borong sekitar ibu negara bukan perkara baharu kerana pernah beberapa kali didedahkan media sebelum ini.

Antaranya pada April tahun lalu apabila BH mendedahkan kumpulan kongsi gelap dipercayai menjadi pelindung kepada pendatang asing di kebanyakan pasar borong, terutama di Lembah Klang bagi memastikan perniagaan mereka 'kebal' daripada tindakan pihak berkuasa.

Mereka dikatakan menguasai tapak niaga tidak berlesen di luar pasar borong utama serta mendakwa mewakili persatuan peniaga dan penjaja tertentu.

Berita Harian X