Jumaat, 18 Disember 2020 | 5:12pm

Pemimpin muda AMANAH sokong pakatan pembangkang buat anjakan politik

KUALA LUMPUR: Pemimpin muda Parti Amanah Negara (AMANAH) menzahirkan sokongan terhadap cadangan supaya pakatan pembangkang, melakukan anjakan politik dan membentuk gabungan baharu yang lebih kukuh.

Dalam satu kenyataan bersama oleh 108 pemimpin Pemuda, Angkatan Wanita (AWAN) dan Wanita Muda (WARDA) AMANAH, mereka percaya kesatuan semua parti pembangkang penting bagi menghadapi cabaran politik serta persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mereka turut menggesa supaya gabungan pembangkang yang baharu dibentuk dengan menampilkan barisan kepemimpinan dengan wajah baharu, sambil mengetepikan perbezaan lampau.

Tegas pemimpin muda AMANAH itu, Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil langkah progresif dengan membuka semula pintu rundingan kepada parti pembangkang lain bagi membina semula imej dan kekuatan menjelang tahun hadapan.

"Idea politik baharu gabungan besar atau 'grand coalition' bukan perancangan untuk membelakangi mana-mana parti komponen PH, tetapi kita memerlukan ikhtiar baharu dalam mobilisasi gabungan parti pembangkang menerusi satu visi dan misi yang sama, iaitu menolak kleptokrasi dan mengangkat nilai demokrasi, integriti serta urus tadbir yang baik.

"Sudah sampai masa untuk pimpinan PH dan parti pembangkang lain memberi fokus kepada penyatuan dan kesepaduan bagi menggembleng usaha supaya dapat bergerak sebagai satu pasukan, menampilkan wajah baharu kepimpinan yang segar dan mengenepikan perbezaan serta bebanan lampau," jelas kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan pemimpin muda AMANAH itu adalah bagi menyokong cadangan disuarakan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama, semalam.

Bagaimanapun, kenyataan bersama itu tidak disertai Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamad dan Guan Eng mahu pembangkang melakukan anjakan politik baharu dengan mengetepikan bebanan lampau supaya dapat berkembang menjadi PH Plus dengan kekuatan hebat 108 Ahli Parlimen.

Kedua-dua pemimpin utama PH itu juga enggan lagi membazir masa dan tenaga dengan cuba mengejar sokongan beberapa Ahli Parlimen kerajaan, hingga PH diperalat demi kepentingan peribadi pihak tertentu.

Ia susulan kegagalan pembangkang mendapatkan jumlah sokongan mencukupi untuk menggagalkan Belanjawan 2021 oleh kerajaan, apabila ia diluluskan di Dewan Rakyat, Selasa lalu, menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 111 wakil rakyat menyokong, 108 menolak dan satu tidak hadir.

Berita Harian X