Jumaat, 18 Disember 2020 | 4:38pm
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad (kiri) menyerahkan piala Pertandingan Squadron Of The Year 2020 kepada Leftenan Kolonel Muhammad Fazri Md Zin pada Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM 2020 di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad (kiri) menyerahkan piala Pertandingan Squadron Of The Year 2020 kepada Leftenan Kolonel Muhammad Fazri Md Zin pada Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM 2020 di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang. - Foto NSTP/Faiz Anuar

TUDM henti khidmat Nuri

SUBANG: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menamatkan pengoperasian kesemua helikopter Nuri, antaranya disebabkan faktor usia perkhidmatan melebihi 52 tahun.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, berkata faktor keusangan juga diambil kira kerana kebanyakan komponen serta alat ganti sudah tidak dikeluarkan pengilang atau OEM.

"Kebanyakan komponen yang dihantar untuk pembaikan kepada pihak OEM dipulangkan semula atas dasar 'Beyond Economic Repair' (BER), malah kos penyelenggaraan Nuri yang semakin tinggi menyulitkan TUDM untuk teruskan pengoperasian.

"Faktor usia dan cabaran dari aspek senggaraan secara langsung mengakibatkan kos pengoperasian pesawat semakin tinggi dan 'downtime' pesawat semakin panjang apabila berlaku kerosakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Anugerah Kecemerlangan TUDM 2020 dan Penganugerahan Sayap Penerbangan Jurusensor Senjata dan Kuarter Master Udara di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pegawai tinggi TUDM.

Ackbal berkata, TUDM merancang untuk perolehan 36 pesawat FLIT/LCA yang akan dilaksanakan secara berfasa seiring dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

"Bagi tujuan itu, TUDM memohon bajet untuk perolehan Fasa 1 bagi 18 pesawat melalui pendaftaran projek baharu 2021.

"Permohonan untuk Perolehan Fasa 2 untuk 18 pesawat lagi akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13," katanya.

Mengulas mengenai usaha bersepadu TUDM membantu kerajaan memerangi COVID-19, sehingga kini lebih 100 misi bantuan logistik penghantaran udara membabitkan pesawat milik TUDM dilaksanakan.

"Melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), TUDM membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) untuk penghantaran barangan perubatan dan kesihatan di mana kira-kira 240 tan bagi kegunaan kumpulan barisan hadapan dihantar ke Sabah dan Sarawak.

"Pesawat terbabit adalah A400M, C-130H, CN 235 dan helikopter EC-725 AP di mana jumlah keseluruhan empat pesawat itu adalah 800 jam penerbangan membabitkan kos RM39 juta.

"Semua penerbangan ini adalah penerbangan khusus, bermaksud pesawat itu ditugaskan untuk menghantar barangan keperluan KKM, mana-mana kementerian serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan COVID-19 ke Sabah dan Sarawak yang menggunakan peruntukan semasa TUDM.

"Selain itu, TUDM juga terbabit bersama ATM di bawah naungan 'National Task Force' (NTF) untuk Op Benteng dan juga Op Penawar membantu Polis Diraja Malaysia termasuk sekatan jalan raya," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, TUDM tetap komited meneruskan tugas utama dalam memperkukuhkan kawalan persempadanan Malaysia melalui pengawasan udara maritim.

Sementara itu katanya, TUDM kini sedang menuju ke arah merealisasikan pelan strategiknya iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau RMAF Capability Plan 2055 (CAP55) yang akan menggantikan pelan transformasi Air Force Next Generation (AFNG).

"CAP 55 Fasa 1 bakal bermula pada 2021 memfokuskan kepada Penstrukturan Keupayaan dan Penjajaran Organisasi. CAP 55 akan merealisasikan aspirasi TUDM sebagai angkatan udara yang boleh dipercayai dan berspektrum penuh," katanya.

Berita Harian X