Khamis, 17 Disember 2020 | 12:31pm

PAC akan panggil Zahid Hamidi isu perbekalan kapal tempur

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal bulan depan, bagi melengkapkan prosiding berhubung kegagalan pembekalan enam Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS).

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata turut akan dipanggil pada prosiding jawatankuasa itu adalah bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor utama projek kapal LCS Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd.

"PAC memandang serius isu kegagalan pembekalan enam kapal peronda LCS oleh Kementerian Pertahanan membabitkan nilai perolehan sebanyak RM9 bilion.

"Isu kelemahan atau kegagalan bukan saja dari segi tadbir urus, perolehan dan kewangan, malah memberikan impak terhadap aspek keselamatan dan pertahanan negara.

"Justeru, PAC memutuskan untuk memanggil prosiding dan setakat ini, empat mesyuarat serta prosiding dengan saksi-saksi dipanggil," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Kah Woh berkata, antara yang sudah dipanggil ialah Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul, masing-masing pada 5 November serta 18 November lalu.

"Kita juga sudah memanggil Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Tan Sri Ambrin Buang pada 1 Disember lalu.

"Seterusnya, lima lagi saksi dibawa ke prosiding berkaitan isu kapal LCS yang dijalankan kali terakhir semalam, termasuk KSU Kementerian Pertahanan buat kali kedua," katanya.

Kah Woh berkata PAC akan mempercepatkan prosiding berhubung isu bekalan kapal LCS dan membentangkan laporan ke Dewan Rakyat supaya suatu penyelesaian bersifat tuntas berupaya dilaksanakan kerajaan.

Selain itu, katanya, jawatankuasa berkenaan akan mengadakan lawatan tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak pada Januari depan.

"PAC meletak sasaran laporan prosiding isu bekalan enam kapal LCS generasi kedua ini akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat pada sidang Parlimen, Mac tahun depan," katanya.

Beliau berkata, pelantikan BNS Sdn Bhd dilakukan secara rundingan terus dan sehingga Oktober lalu, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar, dan tidak ada sebuah kapal LCS siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS siap dibina setakat ini.

Isu itu dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian/ Jabatan Persekutuan) dan Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), diterbitkan pada 2019.

Mengulas tiga pilihan penyelesaian berhubung isu LCS yang kini dalam pertimbangan kerajaan, Kah Woh berkata, PAC akan mengemukakan syor tersendiri berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan mempunyai hak untuk membuat pertimbangan terhadap cara penyelesaian isu LCS, memandangkan dua daripada enam kapal itu sepatutnya siap dan diserahkan kepada TLDM.

"Ketika prosiding, kita dimaklumkan mengenai opsyen yang dikemukakan kerajaan, tetapi itu keputusan dibuat kerajaan dan kami difahamkan kerajaan sudah mengarahkan proses ketekunan wajar dilakukan.

"PAC lebih cenderung terhadap isu berkaitan sistem perolehan, pengurusan kontraktor dan yang penting, hala tuju projek LCS," katanya.

Wong Kah Woh (kiri) pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini berkata, PAC akan memanggil Zahid Hamidi bagi melengkapkan prosiding berhubung kegagalan pembekalan enam Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS). - Foto BH
Wong Kah Woh (kiri) pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini berkata, PAC akan memanggil Zahid Hamidi bagi melengkapkan prosiding berhubung kegagalan pembekalan enam Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS). - Foto BH
Berita Harian X