Selasa, 15 Disember 2020 | 8:17pm

Cari jalan hubungan baik dengan semua termasuk pembangkang

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuka lebih banyak ruang perbincangan serta mencari jalan bagi membina hubungan lebih baik bukan hanya membabitkan parti yang mendokong Perikatan Nasional (PN), sebaliknya blok pembangkang.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, ini bagi membolehkan kerjasama lebih erat dibentuk dalam banyak perkara termasuk kerjasama bagi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) di Dewan Rakyat selepas ini.

Katanya, kelulusan diperoleh bagi RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 semalam dengan kelebihan hanya tiga undi menunjukkan kedudukan kerajaan ketika ini sedikit tergugat dan tidak mempunyai mandat agak selesa.

"Memang jelas sokongan kepada kerajaan agak genting. Perlu ada kompromi dengan pihak pembangkang untuk dapatkan lagi sokongan (selepas ini).

"Kerajaan perlu libatkan kerjasama pembangkang khususnya dalam perbincangan berkaitan pentadbiran kerajaan dan hal RUU untuk menjamin sokongan termasuk juga dengan UMNO," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat hari ini menerusi undi belah bahagian yang mana 111 menyokong dan 108 menolak dan seorang tidak hadir.

Mohd Izani berkata, dengan kelulusan RUU berkenaan juga, sudah tentu persoalan berkaitan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan terus didendangkan selepas ini.

Penganalisis ekonomi, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor, berkata jurang sokongan yang kecil diperoleh kerajaan untuk meluluskan RUU itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi sentimen pelabur.

Katanya, agak sukar untuk kerajaan menarik keyakinan pelabur luar dengan kedudukan ketika ini, apatah lagi untuk meyakinkan mereka mengenai dasar-dasar yang akan dan bakal diperkenal kerajaan.

"Walaupun negara kita aman tanpa kacau-bilau seperti di negara-negara Afrika, kestabilan politik antara kriteria penting yang dinilai pelabur selain pelaksanaan undang-undang dan sebagainya.

"Kerajaan perlu merangka jalan untuk meningkatkan keyakinan pelabur dalam suasana politik yang tidak menentu ketika ini. Cabaran besar bagi Malaysia, sudah parti pasaran Indonesia yang kini mula menggalakkan pelabur masuk dengan pengenalan undang-undang yang lebih mesra pelabur," katanya.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor, berkata kelulusan kepada Belanjawan 2021 baik untuk rakyat kerana mempunyai pakej membantu rakyat selain berupaya menarik keyakinan pelabur.

Katanya, PINTAR melihat sudah tiba masa untuk wakil rakyat bekerja dan memberi fokus untuk melaksanakan segala perancangan berdasarkan Belanjawan 2021 untuk memastikan manfaat dapat dirasai oleh rakyat keseluruhannya.

"Apa yang dapat difahami daripada kelulusan Belanjawan 2021 ini turut menunjukkan bahawa kerajaan yang ada masih mempunyai sokongan majoriti untuk meneruskan pentadbiran, sehinggalah PRU ke-15 kelak.

"Ini juga memberi kesan kepada kestabilan negara. Sudah pasti, menjadi hasrat masyarakat supaya negara terus berada dalam keadaan stabil dari aspek politik kerana ia akan memberikan kesan besar kepada ekonomi dan rakyat," katanya.

Berita Harian X