Isnin, 14 Disember 2020 | 10:07pm
Kerajaan dan Perdana Menteri boleh hilang sokongan majoriti jika Belanjawan 2021 ditolak - Nik Ahmad Kamal
Kerajaan dan Perdana Menteri boleh hilang sokongan majoriti jika Belanjawan 2021 ditolak - Nik Ahmad Kamal

Belanjawan 2021 perlu disokong

KUALA LUMPUR: Kerajaan terutama Perdana Menteri boleh hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat jika Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat bacaan kali ketiga ditolak esok.

Menyifatkan ia sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, penolakan itu juga akan memberi implikasi terhadap kelancaran pentadbiran kerajaan terutama peruntukan bagi tahun depan.

Katanya, sesuatu RUU yang dibentangkan ke Dewan Rakyat dianggap selesai secara keseluruhannya selepas mendapat kelulusan Dewan Rakyat bagi bacaan kali ketiga.

"Bagi RUU Perbekalan ini, ada tiga peringkat. Bacaan kali pertama ketika belanjawan dibentang dulu. Kemudian bacaan kali kedua iaitu peringkat dasar dan jawatankuasa. Peringkat ini dijangka akan diluluskan semua (kementerian), dengan (peringkat) dasar sudah pun diluluskan lebih awal.

"Peringkat terakhir adalah bacaan kali ketiga yang akan meluluskan secara keseluruhan RUU berkenaan. Jika ia melalui proses undian belah bahagian dan keputusannya ditolak, maka ia bermaksud kerajaan hilang majoriti," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Maka, kata beliau, RUU berkenaan tidak boleh dibentang ke Dewan Negara serta diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk dijadikan sebagai satu akta diwartakan.

"Sekarang ini hanya berbaki beberapa hari lagi sebelum masuk tahun baru. Jika RUU ini tidak dapat diluluskan esok, maka mungkin kerajaan baru mempunyai masa yang agak suntuk untuk membentangkan semula RUU itu," katanya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan penolakan kepada RUU berkenaan sama ada berpaksi kepada kepentingan rakyat atau pertaruhan politik semata-mata.

"Kalau menolak atas sebab tidak bersetuju dengan peruntukan yang dibentangkan, maka ia boleh dilakukan di peringkat jawatankuasa yang membabitkan kementerian tertentu. Tetapi jika keseluruhan RUU itu ditolak, ia mungkin bermotifkan politik," katanya.

Berita Harian X