Isnin, 14 Disember 2020 | 10:01pm
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alif Anas Md Noor. - Foto NSTP
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alif Anas Md Noor. - Foto NSTP

Warga pekerja, rakyat kecewa jika Belanjawan 2021 ditolak

KUALA LUMPUR: Warga pekerja di negara ini pasti kecewa jika Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat bacaan kali ketiga tidak dapat diluluskan di Parlimen, esok.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata Ahli Parlimen sepatutnya meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan mereka, berbanding percaturan politik.

Katanya, bukan masanya untuk menguji keabsahan kerajaan menerusi RUU belanjawan negara kerana ia secara langsung meletakkan untung nasib rakyat.

"Kami warga pekerja pasti kecewa jika RUU ini akhirnya ditolak dan perlu dibentang semula selepas melalui tempoh perbahasan yang panjang sebelum ini.

"Kita akui ada beberapa perkara yang menjadi perdebatan seperti pelaksanaan i-Sinar oleh KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), tetapi ia boleh dibincangkan tanpa perlu mengganggu kelulusan RUU berkenaan," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Mohd Effendy berkata, RUU Perbekalan 2021 yang menyediakan peruntukan RM322.5 bilion mencakupi kepentingan dan manfaat kepada bukan saja pekerja di sektor swasta, sebaliknya kumpulan petani, nelayan, penjawat awam serta peniaga kecil.

Hari ini, Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk menolak Belanjawan 2021 dalam pengundian kali ketiga di Dewan Rakyat, esok dan menggesa semua Ahli Parlimen daripada pembangkang mahupun kerajaan turut sama berbuat demikian.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alif Anas Md Noor, berkata tidak sepatutnya Ahli Parlimen mengambil pendirian menolak keseluruhan Belanjawan 2021, kerana ia berkait dengan kepentingan rakyat.

Katanya, mereka perlu menolak sentimen politik dan memikirkan nasib dan kebajikan rakyat yang ketika ini berdepan situasi sangat mencabar ekoran penularan pandemik COVID-19 yang masih belum menunjukkan tanda reda.

"Ketika rakyat susah dan mengharapkan bantuan daripada kerajaan, tidak sepatutnya ada usaha dibuat untuk menggagalkan satu inisiatif yang memberi faedah kepada rakyat. Soal politik mesti diketepikan, fikirkan masalah rakyat.

"Pelajar masih ramai yang perlu dibantu, tidak kurang golongan B40. Jika belanjawan ini ditolak, bagaimana kerajaan boleh memastikan bantuan dijanjikan sebelum ini dapat diagihkan kepada mereka," katanya.

Berita Harian X