Isnin, 14 Disember 2020 | 9:39pm
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun. - Foto NSTP
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun. - Foto NSTP

COVID-19: Sabah rekodkan 58 kluster aktif, 283 kes baharu

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan sebanyak 58 kluster COVID-19 masih aktif setakat hari ini daripada 100 kluster keseluruhan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster terbanyak direkodkan di Kota Kinabalu, iaitu 22 kluster, diikuti Sandakan (18) dan Tawau (16).

Beliau berkata, sebanyak 283 kes baharu positif COVID-19 hari ini dengan dua kematian, iaitu di Tawau dan Kota Kinabalu, menjadikan kumulatif di Sabah sebanyak 33,111 kes.

"Sebanyak 155 kes atau 54.8 peratus berpunca daripada saringan kontak rapat di 10 daerah.

"Selebihnya, 64 kes atau 22.6 peratus daripada saringan kluster sedia ada, diikuti saringan bergejala (36 kes/12.7 peratus); saringan komuniti (6 kes/2.1 peratus) dan kategori lain (22 kes/7.8 peratus)," katanya pada sidang media perkembangan semasa COVID-19 Sabah di sini, malam ini.

Bagi pesakit sembuh, seramai 434 pesakit dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan kumulatif sembuh seramai 29,883 orang.

Baki seramai 2,143 pesakit lagi masih menerima rawatan, iaitu 614 di hospital; Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) (1,529) termasuk 61 ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 16 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata, daerah dalam zon merah di Sabah berkurang kepada 12 hari ini selepas Pitas bertukar zon jingga.

Zon merah lain ialah Kota Kinabalu, Tuaran, Sandakan, Penampang, Lahad Datu, Tawau, Putatan, Papar, Kota Belud, Semporna, Kudat dan Keningau.

Berita Harian X