Isnin, 14 Disember 2020 | 3:40pm

Projek Kapal Tempur Pesisir Pantai, kerajaan pertimbang dua opsyen

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan diluluskan secara undian suara majoriti.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, selepas tiada Ahli Parlimen meminta supaya undian belah bahagian dijalankan seperti yang berlaku terhadap beberapa kementerian sebelum ini.

Selari keputusan itu, katanya, wang berjumlah RM11,355,404,800 untuk kepala B60, anggaran perbelanjaan mengurus 2021 jadi sebahagian daripada jadual.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika penggulungan berkata kerajaan setakat ini menolak pilihan penyelesaian pertama bagi merungkai isu berkaitan pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) iaitu melantik Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat untuk menyiapkan sekurang-kurangnya dua unit LCS.

"Dalam keputusan Kabinet, kita sebulat suara berpendapat bahawa pilihan pertama tak perlu digunakan, justeru tinggal dua pilihan saja sekarang.

"Ia sama ada projek ini diserahkan kepada Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk teruskan projek pembinaan LCS dengan suntikan tambahan RM3 bilion.

"Pilihan ketiga, ialah dengan menamatkan kontrak, kita lantik syarikat lain sebagai syarikat penyelamat. Mungkin kita boleh beri BNS peluang, tetapi mereka perlu bentangkan dari segi perancangan untuk meneruskan projek," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid, pada 21 November tahun lalu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek pembinaan enam kapal LCS yang gagal diserahkan mengikut jadual.

Projek bernilai RM9.128 bilion itu dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dan sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal berkenaan secara serentak.

Bagaimanapun, hingga kini tiada satu pun LCS yang disiapkan dan diserah kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), walaupun perjanjian kontrak pada Januari 2014 menggariskan bahawa LCS 1 sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.

Ismail berkata, pembinaan kapal secara serentak dalam projek berskala mega dan membabitkan peruntukan besar itu dikenal pasti antara punca kegagalan menyiapkan LCS mengikut jadual.

"Saya tidak tengok lagi audit forensik, tetapi contoh kalau wang untuk bina kapal disalah gunakan untuk perkara lain, maka sudah pasti berlaku kelewatan.

"Oleh itu, ia perlu dipantau oleh satu jawatankuasa pada masa depan, sekiranya membabitkan projek berskala begini dan ia akan dipengerusikan pengurusan tertinggi seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan lain-lain," katanya.

Menyentuh isu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Ismail berkata pihaknya sedang menyediakan kertas Jemaah Menteri bagi mewujudkan semula program membabitkan lepasan sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, PLKN akan diwujudkan semula menerusi suntikan modul baharu dan berteraskan pembiayaan kewangan yang dikurangkan.

"Kita tahu perbelanjaan besar dulu, mungkin boleh dikurangkan lagi, jadi ini antara perkara yang sedang diteliti.

"Keputusan daripada Kabinet akan diperoleh bagi mewujudkan satu jawatankuasa yang khusus untuk melihat keperluan dan perkara baharu berkaitan model baharu PLKN," katanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika penggulungan berkata kerajaan setakat ini menolak pilihan penyelesaian pertama bagi merungkai isu berkaitan pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) iaitu melantik Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat untuk menyiapkan sekurang-kurangnya dua unit LCS.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika penggulungan berkata kerajaan setakat ini menolak pilihan penyelesaian pertama bagi merungkai isu berkaitan pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) iaitu melantik Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat untuk menyiapkan sekurang-kurangnya dua unit LCS.
Berita Harian X