Isnin, 14 Disember 2020 | 12:18pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

KBS perkukuh agenda belia dan sukan

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 menitik beratkan perancangan dan pengisian pembangunan belia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sekali gus menangani pelbagai cabaran termasuk isu pengangguran.

Komitmen itu diterjemah menerusi pelbagai inisiatif bagi menstabilkan perancangan membabitkan golongan belia, sekali gus membuktikan tiada siapa dipinggirkan dalam Belanjawan 2021.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai pengisian ke atas pelbagai strategi KBS memastikan belia tidak tercicir dalam sektor pekerjaan, pendidikan dan ekonomi.

Ini termasuk program khas secara one-off ke dalam akaun e-wallet belia dinaikkan daripada RM50 kepada RM100 dan turut diperluaskan kepada 1.1 juta mahasiswa di universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta, selain yang berusia antara 18 hingga 20 tahun.

KBS menyambut baik sokongan pendedahan alam pekerjaan kepada belia menerusi pelbagai inisiatif yang menyentuh kepentingan belia merentas kementerian dan agensi.

Melalui Belanjawan 2021 ini, terdapat 50 inisiatif untuk belia menerima manfaat secara langsung dari aspek peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, peluang di dalam ekonomi gig hinggalah peluang keusahawanan pada peringkat akar umbi.

"Belanjawan 2021 ini secara keseluruhannya menjawab keresahan dan kerisauan belia yang terkesan akibat daripada penularan wabak pandemik COVID-19", tambah beliau lagi.

KBS selaku flag-bearer kepada dasar belia dan antara kementerian yang menjadi ahli Mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara dipengerusikan Perdana Menteri diberi tanggungjawab meneruskan program Skim Perantisan Nasional sebagai peluang pengalaman pekerjaan kepada belia.

Belanjawan 2021 turut memberi insentif RM1,000 sebulan kepada majikan swasta sehingga tiga bulan bagi setiap graduan baharu yang menyertai program perantisan.

Majikan juga boleh menuntut geran sehingga RM4,000 untuk program latihan perantis yang bakal memanfaatkan sehingga 50,000 graduan baharu dengan peruntukan RM250 juta.

Dalam soal pemerkasaan latihan dan kemahiran belia, KBS akan turut memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan menambah baik mutu pembelajaran di Institusi Latihan Kemahiran KBS (ILKBS).

Ini termasuk peruntukan melaksanakan program reskilling dan upskilling kepada belia massa melalui pendekatan bootcamp dan kursus jangka pendek di semua 22 ILKBS di seluruh negara. Ia bagi menangani soal pengangguran belia dengan tumpuan kepada kebolehpasaran pekerja dan padanan pekerjaan.

Ini sebahagian daripada peruntukan RM6 bilion dalam Belanjawan 2021 khusus bagi memperkasa TVET. Sebanyak RM300 juta disediakan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk pinjaman kepada 24,000 peserta program TVET di institusi latihan kemahiran awam dan swasta.

Selain itu, sejumlah RM60 juta diperuntukkan bagi elaun bulanan Sistem Latihan Dual Nasional Plus yang dinaikkan daripada RM625 kepada RM1,000.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, pula berkata Belanjawan 2021 memenuhi permintaan dan keperluan asas belia seperti penciptaan peluang pekerjaan, latihan kemahiran, latihan teknikal dan vokasional, pelbagai peluang keusahawan serta subsidi upah.

Beliau berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan yang sentiasa memberi ruang dan membuka pintu kepada MBM untuk membawa isu berkait soal belia termasuk membawanya sebagai agenda KBS di dalam Belanjawan 2021.

Mengambil kira sektor sukan yang turut terjejas akibat COVID-19, KBS dilihat komited memastikan sektor sukan dan industri sukan termasuk penganjuran kejohanan sukan tempatan dan antarabangsa dapat dilaksanakan semula tahun hadapan menerusi pengenalan gelembung sukan.

Reezal Merican dalam penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi KBS menegaskan bahawa perjuangan KBS adalah bagi memastikan pada 2021 aktiviti sukan dapat diteruskan dengan meyakinkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggunakan gelembung sukan yang baharu disebabkan pandemik dihadapi sekarang.

"Tiada lagi pause button untuk sektor sukan dalam kalendar 2021 dan KBS sedang merangka pendekatan sukan yang mengambil kira sense of normalcy serta pandangan pemegang taruh," tegas beliau ketika menggulung perbahasan di Parlimen baru-baru ini.

Menerusi peruntukan RM55 juta bagi program pembangunan sukan berprestasi tinggi, Reezal Merican optimis KBS sudah bersedia ke arah melahirkan barisan atlet pembangunan dan pelapis yang lebih berdaya saing.

Bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat di negara ini yang turut didukung norma baharu kehidupan dalam suasana penularan pandemik COVID-19, peruntukan secukupnya disediakan khusus bagi melaksanakan agenda sukan untuk semua melalui program MyFIT, sambutan Hari Sukan Negara, Program Inspire bagi komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) serta pembangunan sukan untuk wanita.

Selain itu, Belanjawan 2021 juga memperlihatkan kesinambungan agenda e-sports dengan penubuhan E-Sports Integrated (ESI) sebagai langkah memastikan sukan itu dapat memanfaatkan belia melalui ekosistem yang lebih membina termasuk soal kecergasan dan pembangunan aplikasi permainan.

Peruntukan RM103 juta akan dimanfaatkan untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara.

Reezal Merican turut menjelaskan akan memberi penekanan terhadap pendemokrasian sukan yang melihat keperluan terhadap pembangunan lebih menyeluruh serta meliputi kawasan di bandar serta luar bandar.

Di samping itu, KBS sedang membangunkan satu lagi fokus penting iaitu industri sukan bagi membolehkan formulasi strategi, perancangan dan hala tuju industri sukan di dalam negara dapat dilakukan dengan lebih tersusun dan berkesan bersama-sama pemain industri yang lain.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2021 memberi ruang cukup besar kepada KBS memperkukuh agendanya terhadap belia dan sukan dalam negara.

Komitmen dan sokongan pelbagai pihak berkepentingan diperlukan bagi membolehkan semua inisiatif Belanjawan 2021 dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sampai kepada kumpulan sasar.

Berita Harian X