Ahad, 13 Disember 2020 | 12:05pm
Pihak berkuasa meningkatkan usaha dalam mencegah pencemaran dan memulih sungai tercemar.
Pihak berkuasa meningkatkan usaha dalam mencegah pencemaran dan memulih sungai tercemar.

Syor pencemar sumber air dikenakan penjara mandatori

EMPAT negeri dikesan mempunyai Rizab Margin Air Terawat di bawah 10 peratus, sedangkan masa sama, pencemaran sungai terus berulang sehingga menjejaskan bekalan kepada pengguna.

Wartawan BH, Rohaniza Idris mendapatkan ulasan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang mengenai keperluan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan sumber terus terjamin pada hari ini hingga masa depan.

S: Baru-baru ini, diumumkan Rizab Margin Air Terawat beberapa negeri membimbangkan kerana di bawah paras 15 peratus. Boleh Datuk Seri terang paras yang dikatakan selamat?

J: Sebelum menjawab soalan, izinkan saya menerangkan sedikit definisi rizab margin iaitu merupakan perbezaan di antara jumlah semua kapasiti reka bentuk loji rawatan air dalam satu negeri berbanding jumlah pengeluaran semasa semua loji rawatan air berkenaan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sudah mengesyorkan supaya rizab margin minimum yang perlu ada dalam sistem bekalan air adalah 15 peratus. Namun, sehingga suku kedua (Q3) 2020, terdapat empat (4) negeri yang merekodkan kadar rizab margin air terawat di bawah 15 peratus iaitu:

• Johor (9 peratus)

• Kedah (0.67 peratus)

• Kelantan (0 peratus)

• Perlis (1.53 peratus).

Rizab margin sekurang-kurangnya 15 peratus diperlukan bagi menampung peningkatan permintaan baharu yang dianggarkan 2 hingga 3 peratus setahun. Pada kadar ini juga operator air akan mempunyai masa untuk merancang penambahan kapasiti bekalan untuk jangka masa panjang dan menyediakan bekalan untuk kegunaan luar jangka.

S: Apa langkah perlu diambil untuk tingkatkan rizab margin air dan apa yang masyarakat awam perlu faham mengenai rizab margin tu.

J: Masyarakat perlu faham bahawa rizab margin ini penting kerana menggambarkan jumlah air yang masih boleh dibekalkan kepada pengguna jika berlaku kes kecemasan seperti gangguan bekalan.

Dengan rizab margin yang selesa juga tempoh pemulihan bekalan air selepas sesuatu insiden seperti henti tugas loji rawatan dapat dipercepatkan berbanding keadaan jika rizab margin tipis.

Rizab margin tinggi juga diperlukan bagi menampung peningkatan air mendadak yang berlaku ketika musim perayaan atau musim cuti panjang. Pada tempoh itu, sesetengah kawasan mengalami peningkatan permintaan air secara mendadak hingga 7 peratus. Justeru rizab margin yang selesa akan dapat menampung permintaan air ini tanpa sebarang masalah atau stres kepada sistem bekalan air.

Beberapa tindakan yang sedang dilaksanakan kerajaan dengan kerjasama operator air bagi meningkatkan rizab margin adalah seperti meningkatkan kapasiti takungan terawat melalui kerja naik taraf loji rawatan air (LRA) sedia ada, pembinaan LRA baharu, mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dan memperbanyakkan kolam takungan berhampiran sungai seperti takungan air pinggiran sungai (TAPS), pembinaan baraj dan horizontal collector well serta mempelbagaikan bekalan air dengan memperkenalkan air pulih guna bagi keperluan industri. Langkah ini memerlukan perbelanjaan besar dan akan memberikan impak langsung kepada kos penyediaan bekalan dan harga air.

Justeru, kerajaan juga mempergiatkan pengurusan permintaan air dengan memberi tumpuan kepada mengurangkan permintaan bekalan melalui pelbagai kaedah seperti penggunaan mandatori produk cekap air, penerokaan sumber air alternatif, audit kecekapan penggunaan air dan penggunaan sumber yang lebih efisien di semua sektor ekonomi seperti domestik, industri dan pertanian.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang. - NSTP/Mustaffa Kamal
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang. - NSTP/Mustaffa Kamal

Pengguna juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan rizab margin ini dengan mengurangkan penggunaan kepada 180 liter seorang sehari.

Hal ini boleh direalisasikan dengan menggunakan air secara bijak dan berhemah dalam kehidupan seharian dan mengelak pembaziran. Sekarang sudah ada peralatan cekap air seperti mesin basuh, kepala paip atau pancuran mandi yang boleh kita dapati di pasaran yang dapat mengurangkan secara signifikan penggunaan air berbanding peralatan biasa. Langkah ini boleh dilakukan kita semua dan tidak memerlukan pelaburan atau kos besar. Kita hanya perlu mengubah cara hidup untuk lebih menghargai air.

S: Mengenai pencemaran sungai dan bekalan air mentah, mengapa ia terus berlaku sedangkan sudah lama kempen cintai sungai dilaksanakan

J: Tidak dapat dinafikan program kesedaran mencintai sungai sudah lama dilaksanakan, tetapi pencemaran masih berlaku. Saya fikir perkara ini ada kaitan dengan keberkesanan program dan kaedah pelaksanaannya. Dulu program ini dilaksanakan di bawah kementerian berbeza, oleh itu saya simpulkan tiada usaha secara bersinergi untuk memastikan kejayaannya.

Di bawah KASA, kita melihat air sebagai salah satu komponen dalam alam sekitar yang penting untuk diuruskan secara lestari. Ini berbeza dengan situasi sebelum ini dengan sumber dan bekalan air diletakkan di bawah portfolio kementerian berbeza. Integrasi ini membolehkan program pelestarian sungai dilaksanakan secara bersepadu dan saya amat percaya impak positif dapat kita lihat sedikit masa lagi.

S: Adakah pencemaran berlaku kerana kurang kesedaran umum atau langkah pengesanan yang lebih canggih menyebabkan ia dapat dikesan lebih awal.

J: Kementerian melihat elemen structural dan non-structural memainkan peranan penting dalam memastikan pencemaran sungai dapat ditegah daripada berlarutan.

Kecanggihan teknologi pasti menawarkan peluang untuk kita menambah baik keberkesanan pemantauan dan mengesan insiden dengan lebih cepat, tetapi ia memerlukan pelaburan yang tinggi, yang ada kalanya tidak mampu untuk kita penuhi.

KASA cuba mengimbangi pendekatan ini dengan meningkatkan kesedaran umum bagi sama-sama membantu kerajaan dalam menangani isu pencemaran.

Dalam hubungan ini, kita mendidik orang ramai untuk menjadi mata dan telinga, meningkatkan kesedaran bersama serta menawarkan ganjaran kepada mereka yang melaporkan isu pencemaran. Untuk jangka masa panjang kita juga wujudkan program Denai Sungai Kebangsaan dan memperhebatkan program Rakan Alam Sekitar untuk memastikan masyarakat awam sedia serta sanggup memainkan peranan untuk mengurangkan pencemaran dan tindak tanduk yang boleh sama ada secara langsung atau tidak.

Kekurangan rizab margin air bersih akan meningkatkan risiko krisis air terus berlaku. - Foto hiasan
Kekurangan rizab margin air bersih akan meningkatkan risiko krisis air terus berlaku. - Foto hiasan

Walau apapun yang kita lakukan, pencemaran terus berlaku jika terdapat kilang haram yang beroperasi tanpa lesen dan mencemar sungai dan pihak industri masih mempunyai mentaliti beroperasi untuk mencapai matlamat keuntungan semata-mata.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua pihak menjadi lebih bertanggungjawab kepada alam sekitar dan tidak meletakkan tugas ini kepada kerajaan semata-mata.

S: Kita sedar kepentingan sungai sebagai sumber air, tetapi masa sama pembangunan yang dijalankan masih membelakangkan sungai. Apakah usaha yang kementerian ambil mengenai perkara ini.

J: Kementerian berdasarkan ruang lingkup sedia ada, mempunyai had kuasa terhad berbanding pihak berkuasa tempatan dalam perancangan pembangunan. Namun, perkara ini tidak wajar dijadikan alasan untuk kita tidak bertindak bagi berbincang dengan pihak berkaitan, khususnya pihak berkuasa tempatan untuk mencari penyelesaian terbaik dalam memastikan pembangunan lestari yang mampu menjaga sungai kita dapat direalisasikan.

Bagi tujuan itu kementerian dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) menumpukan usaha melaksanakan Integrated Water Resource Management (IWRM) dan Integrated River Basin Management (IRBM).

Pendekatan bersepadu ini merangkumi aspek perancangan pembangunan secara menyeluruh membabitkan semua pihak bagi memastikan lembangan sungai terjaga dan sumber air berkualiti dapat dibekalkan berterusan

S: Berapa banyak sungai tercemar dan berjaya dipulihkan sepanjang tahun lalu dan tahun ini.

J: Laporan Kualiti Alam Sekitar 2019 melaporkan 59 aliran sungai tercemar, berbanding 50 sungai pada 2018. Walaupun ada pertambahan 8 sungai tercemar, terdapat 10 aliran sungai tercemar pada 2018 sudah terkeluar daripada senarai sungai tercemar dalam pelaporan 2019 .

Daripada statistik ini, kita dapat melihat kerajaan serius untuk memulihkan sungai tercemar. Seperti saya katakan sebelum ini, melalui Program Denai Sungai Kebangsaan kita menyasar 10,000 kilometer (km) denai dibina, diterajui melalui Jabatan Pengairan dan Saliran dengan kerjasama komuniti setempat. KASA optimis usaha ini akan menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan sungai dan pencegahan pencemaran sungai.

S: Mungkinkah proses perundangan ambil masa panjang menyebabkan kes pendakwaan yang dijalankan tidak beri pengajaran apabila disabitkan.

J: Tidak dinafikan tindakan pendakwaan di mahkamah mengambil masa, sebelum pihak yang didakwa dapat disabitkan atas kesalahan yang sudah dilakukan.

Namun, bagi mempercepatkan kes pendakwaan Green Court telah ditubuhkan pada 2012. Green Court adalah Mahkamah Sesyen Khusus untuk menimbang kes berkaitan alam sekitar. Ia adalah kemudahan yang sudah disediakan pihak mahkamah dengan memberi keutamaan kepada kes alam sekitar supaya dapat diselesaikan segera .

Sungguhpun tindakan perundangan dikenakan, KASA mendapati kuantum dan pemberat hukuman yang ditetapkan dalam undang-undang sedia ada adalah kecil, berbanding kesalahan dilakukan. Ia tidak cukup untuk menjadi pengajaran bagi mencegah insiden sama berulang pada masa hadapan.

Langkah drastik perlu dilaksana bagi menjamin bekalan air bersih terus mencukupi untuk kegunaan rakyat. - Foto hiasan
Langkah drastik perlu dilaksana bagi menjamin bekalan air bersih terus mencukupi untuk kegunaan rakyat. - Foto hiasan

Sehubungan itu, kementerian akan melaksanakan pindaan ke atas Akta Kualiti Alam Sekeliling (Akta 127) dan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655) bagi meningkatkan kuantum hukuman sedia ada kepada hukuman yang lebih tinggi bagi memastikan pencegahan dapat dilakukan.

Perkara ini termasuk meningkatkan jumlah penalti dan denda, tempoh penjara dan mengenakan penjara mandatori untuk beberapa kesalahan berkaitan, terutama membabitkan pencemaran air bagi memberikan impak lebih tinggi kepada penjenayah alam sekitar.

S: Mengenai isu caj air mentah antara Kedah dan Pulau Pinang bolehkah kementerian campur tangan dan adakah dibenarkan mengikut undang berkaitan air di negara ini

J: Saya ingin jelaskan bahawa bidang kuasa ke atas sumber air, termasuk sungai terletak kepada kerajaan negeri iaitu dalam Senarai Negeri di bawah Jadual Ke-9 Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Persekutuan pula bertanggungjawab hal berkaitan berkaitan 'bekalan dan perkhidmatan air'. Kerajaan Persekutuan menghormati kuasa kerajaan negeri ke atas sumber air. Malah, atas dasar menghormati konsep shared responsibility inilah Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Skim Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara pada 2007.

Dalam kes isu caj air mentah antara Kedah dan Pulau Pinang, ia jelas di luar bidang kuasa Persekutuan untuk campur tangan. Saya berpandangan wajar untuk kedua-dua negeri menangani isu ini dengan bijaksana dan semangat setiakawan yang tinggi.

S: Kerajaan Pulau Pinang menegaskan tidak akan bayar kerana tidak perlu berbuat demikian mengikut undang-undang antarabangsa, tetapi akan sokong Kedah jika mahu buat tuntutan kepada Kerajaan Pusat, bolehkah Kedah failkan tuntutan itu.

J: Sebagaimana saya maklumkan sebentar tadi perkara ini berada di luar bidang kuasa KASA. Namun, kita menasihatkan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkara ini secara harmoni dengan meletakkan kepentingan semua sebagai pertimbangan penting dalam mencari penyelesaian.

S: Bagaimana keberkesanan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS) yang ditubuhkan September lalu. Kes terputus bekalan dan pencemaran sungai terus berlaku

J: Satu perkara ingin saya perjelaskan di sini, KASA baru sahaja menubuhkan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS) yang beroperasi secara pentadbiran pada 1 Oktober lalu.

Tujuan utama bagi penubuhan unit ini dengan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah untuk memantapkan elemen risikan, forensik dan tangkapan. Diharap melalui penubuhan UCJAS ini, tindakan pengesanan jenayah alam sekitar dan tindakan undang-undang dapat diambil dengan lebih cepat. Kini keanggotaan UCJAS terdiri daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), PDRM, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Biokeselamatan (JBK).

Sebagai instrumen pencegahan jenayah yang baharu, tidak dinafikan banyak kelemahan yang masih ada dan perjalanan untuk memantapkannya masih jauh. Sungguhpun begitu kita optimis bahawa dengan wujudnya UCJAS, penguatkuasaan akan lebih berkesan.

Hasil positif dapat kita lihat sejak 3 bulan ini di mana sejak tertubuhnya UCJAS, lima operasi bersama PDRM dilaksanakan. Ini termasuk kes pencemaran sungai yang berlaku baru-baru ini sehingga menyebabkan henti tugas loji rawatan air dan gangguan bekalan air kepada pengguna. Hasilnya pihak yang disyaki telah berjaya didakwa dalam tempoh masa yang singkat.

Berita Harian X