Ahad, 13 Disember 2020 | 12:00pm
Anggota PGA berkawal di sempadan Malaysia-Thailand. - Foto NSTP
Anggota PGA berkawal di sempadan Malaysia-Thailand. - Foto NSTP

50 lorong tikus aktif di sempadan

BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan sekurang-kurangnya 50 lorong tikus yang menjadi laluan kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan di perbatasan Malaysia-Thailand, sepanjang 109 kilometer di Kedah dan Perlis.

Sempadan yang panjang dengan kewujudan lorong tikus boleh berubah pada bila-bila masa, menyebabkan anggota PGA berdepan tugas getir menjalankan operasi pencegahan 24 jam setiap hari.

Setiap hari, anggota PGA perlu meredah kawasan yang mencabar berikutan keadaan muka bumi sempadan Malaysia-Thailand merangkumi kawasan berbukit dan hutan tebal bermula dari Bukit Kayu Hitam, Kedah sehingga ke kawasan pantai Perlis.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata bukan sesuatu yang mudah memastikan kawasan sempadan negara bebas kegiatan jenayah, berikutan pihaknya terpaksa menempuh bahaya pada bila-bila masa.

Jelasnya, operasi di sempadan berbeza apabila anggota PGA perlu meredah kawasan berbukit dan hutan berhampiran kebun serta perkampungan bagi memantau kegiatan penyeludup di lorong tikus yang boleh berubah pada bila-bila masa.

"Di sempadan, operasi PGA adalah mencari dan memusnahkan kegiatan penjenayah yang bergerak atau bersembunyi di hutan, sempadan, pantai, pulau termasuk di kawasan terpencil.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji. - Foto NSTP
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji. - Foto NSTP

"Kita juga sudah kenal pasti kira-kira 50 lorong tikus, yang aktif digunakan penyeludup, menyebabkan kita bina kubu bagi menempatkan anggota PGA memantau kawasan berkenaan.

"Menjadi cabaran buat kita kerana penyeludup yang turut mahir di hutan boleh menukar lorong tikus bagi melakukan kegiatan jenayah mereka menyebabkan kami perlu selalu bersedia," katanya kepada BH.

Antara bahan larangan yang masih menjadi tumpuan penyeludupan dari Thailand ke Malaysia ialah syabu dan ganja, manakala daun ketum pula diseludup dari sini ke negara jiran.

Selain bahan larangan terbabit, ada juga barangan pengguna khususnya yang diberi subsidi di Malaysia, seperti minyak masak dan tepung, diseludup ke negara jiran, berikutan permintaan tinggi.

Selain anggota PGA yang mengawal sempadan dari pantai Perlis hingga Bukit Kayu Hitam, perbatasan negara dari Bukit Kayu Hitam, sempadan negara di Perak hingga ke Rantau Panjang di Kelantan, di bawah jagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala anggota Batalion 8 PGA mengawal sempadan dari Rantau Panjang hingga Tumpat.

Abdul Ghani berkata, rutin di perbatasan negara di bawah jagaan pasukannya, setiap hari anggota PGA perlu melakukan rondaan secara enam sepasukan, bermotosikal dan kenderaan di sekitar tembok dan pagar keselamatan, selain melakukan pemeriksaan sekiranya ada kesan pencerobohan berlaku.

Penyeludup menggunakan motosikal di laluan tikus berhampiran dengan pagar keselamatan Malaysia-Thailand. - Foto NSTP
Penyeludup menggunakan motosikal di laluan tikus berhampiran dengan pagar keselamatan Malaysia-Thailand. - Foto NSTP

"Ketika itu cabaran sebenar muncul kerana anggota kita berkemungkinan bertembung penjenayah. Susulan itu, mereka dibekalkan senjata api lengkap, baju kalis peluru dan helmet balastik serta kenderaan sokongan.

"Tugas pemantauan juga menggunakan teknologi terkini apabila Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) mampu membuat pemantauan termasuk pada waktu malam bagi mengesan pergerakan di sempadan," katanya.

Mengulas serangan ke atas dua anggota PGA di Padang Besar pada 24 November lalu hingga mengorbankan anggota Senoi Praaq PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, beliau berkata, susulan kejadian itu kawalan sempadan kini dipertingkat dengan bantuan Unit Kenderaan Berperisai, helikopter PGU, Unit Berkuda dan Komando VAT69.

"Bagi sempadan berbukit dan tidak mempunyai pagar keselamatan, kita menempatkan pasukan rondaan terdiri daripada anggota Tiger Platoon dan Platun Tracker, bagi bertugas di sepanjang kawasan berkenaan.

"Kita berharap, usaha menaik taraf pagar dan tembok keselamatan serta Jalan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) dapat dilakukan bagi memastikan kawalan sempadan dapat dipertingkat pada masa hadapan," katanya.

Berita Harian X