Ahad, 13 Disember 2020 | 8:44am

Kluster Rumah Merah penyumbang kes tertinggi di Sabah

KOTA KINABALU: Kluster Rumah Merah di Pusat Tahanan Sementara Manggatal, di sini, masih menjadi penyumbang tertinggi kes positif COVID-19 di Sabah, semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster itu merekodkan 112 kes sekali gus meletakkan Kota Kinabalu daerah paling banyak kes baharu iaitu 161 kes.

Beliau berkata, daripada 429 kes positif COVID-19 yang dicatatkan di Sabah semalam, sebanyak 213 kes atau 49.7 peratus berpunca daripada saringan kluster baharu dan kluster sedia ada, termasuk Kluster Rumah Merah.

"Sebanyak 124 kes adalah saringan kontak rapat di 14 daerah, diikuti saringan bergejala (44); saringan komuniti (23) dan kategori lain (25)," katanya dalam kenyataan media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melaksanakan saringan besar-besaran membabitkan warga asing di Pusat Tahanan Sementara Manggatal bagi mengesan jangkitan COVID-19.

Sabah mencatat 429 kes baharu semalam, berbanding 532 kes kelmarin dengan empat kematian, masing-masing tiga di Sandakan dan satu di Tuaran, menjadikan kumulatif kes setakat ini sebanyak 32,495 kes.

Sementara itu, daerah dalam zon merah berkurang kepada 13 semalam selepas sebuah daerah iaitu Beluran yang tidak mencatat sebarang kes baharu bertukar kepada zon jingga.

Daerah yang kekal dalam zon merah ialah Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Tuaran, Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Pitas, Kota Belud, Papar, Putatan dan Kudat.

Berita Harian X