Jumaat, 11 Disember 2020 | 5:02pm
Anggota tentera memasang kawat duri di pintu masuk Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Anggota tentera memasang kawat duri di pintu masuk Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Penguat kuasa tahan 260 individu ingkar SOP

PUTRAJAYA: Penguat kuasa menahan 260 individu semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada 260 individu yang ditahan itu, seramai 245 individu dikenakan kompaun, manakala 15 individu direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (102), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (79), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (40), aktiviti pusat hiburan (27) dan lain-lain (12).

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan sebanyak 49,004 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKP Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,902 pasukan pematuhan dengan 12,741 anggota membuat pemantauan di 3,563 pasar raya, 4,969 restoran serta 1,600 penjaja, 1,301 kilang, 3,472 bank dan 604 pejabat kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pasukan itu turut memantau 1,003 terminal pengangkutan darat, 234 terminal pengangkutan air dan 82 terminal pengangkutan udara.

Sementara itu, beliau berkata, Operasi Benteng yang dijalankan semalam menahan 18 pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga tekong serta merampas tiga kenderaan darat.

Beliau berkata, sebanyak 122 sekatan jalan raya dijalankan semalam, iaitu 52 dalam Operasi Penawar yang dilakukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), 61 sekatan jalan raya dalam Operasi Benteng PDRM, manakala sembilan lagi dalam Operasi Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

"Operasi Benteng yang membabitkan PDRM, ATM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan AKSEM mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak COVID-19.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan, terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Berita Harian X