Khamis, 10 Disember 2020 | 5:36pm

Kementerian Kewangan bentang tujuh rang undang-undang bacaan kali pertama

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan hari ini membentangkan tujuh rang undang-undang (pindaan) untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Tujuh rang undang-undang itu ialah Levi Keuntungan Luar Biasa 2020; Cukai Perkhidmatan 2020; Cukai Jualan 2020; Zon Bebas 2020; Eksais 2020; Kastam 2020 dan Cukai Pelancongan 2020.

Semua rang undang-undang itu dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah.

Rang undang-undang untuk meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 itu antara lain adalah bagi memberi kuasa kepada menteri untuk meremit keseluruhan atau mana-mana bahagian levi keuntungan luar biasa yang perlu dibayar.

Pindaan itu juga dibuat untuk memberi Ketua Pengarah kuasa meremit keseluruhan atau mana-mana bahagian penalti yang perlu dibayar di bawah Akta 592.

Pindaan bagi Akta Cukai Perkhidmatan 2018 pula bertujuan memberi Ketua Pengarah kuasa bagi mengarahkan mana-mana orang berdaftar untuk memotong jumlah pembayaran balik terhadap jumlah cukai perkhidmatan yang perlu dibayar daripada penyata di bawah Seksyen 26.

Bagi Akta Cukai Jualan 2018 pindaan bertujuan memberi Ketua Pengarah kuasa memegang keseluruhan atau mana-mana bahagian amaun pembayaran balik untuk dikreditkan kepada mana-mana tempoh bercukai berikutnya atau seterusnya.

Akta Zon Bebas 1990 yang akan dipinda adalah untuk memasukkan seksyen baharu 17A dan 17B ke dalam Akta 438 bagi menambah kuasa kepada pegawai kanan kastam seperti diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) berhubung penguatkuasaan, penyiasatan dan pemeriksaan.

Sementara itu, pindaan bagi Akta Eksais 1976 bertujuan meminda Subseksyen 19(1) Akta 176 untuk memperuntukkan amaun minimum tuntutan bagi pulangan cukai yang boleh dibuat bagi barang-barang yang duti eksais telah dibayar apabila barang-barang itu dieksport.

Pindaan Akta Kastam 1967 pula bagi meminda Subseksyen 93(1) Akta 235 untuk memperuntukkan bahawa apabila apa-apa barang yang duti kastam telah dibayar, dieksport semula, Ketua Pengarah boleh membenarkan sembilan per sepuluh daripada duti yang dikira mengikut Subseksyen 93(2) Akta 235 dibayar semula sebagai pulangan cukai.

Pindaan Akta Cukai Pelancongan 2017 bertujuan mengadakan peruntukan bagi takrif baharu 'pemberi perkhidmatan platform digital' dan 'perkhidmatan yang berhubungan dengan tempahan premis penginapan dalam talian'.

Mohd Shahar berkata bacaan kali kedua untuk kesemua rang undang-undang itu akan dibuat pada persidangan ini. – BERNAMA

 Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah. - foto BERNAMA
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah. - foto BERNAMA
Berita Harian X