Rabu, 9 Disember 2020 | 11:15am

Rizab margin air terawat 6 negeri membimbangkan

KUALA LUMPUR: Penelitian hingga suku kedua tahun ini mendapati enam negeri merekodkan kadar rizab margin air terawat di bawah paras 15 peratus.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, berkata enam negeri itu meliputi Johor yang mempunyai kadar rizab margin air terawat sebanyak 11.3 peratus, Sabah (8.3 peratus), Perlis (7.1 peratus) dan Selangor (1.5 peratus).

Katanya, proses kawal selia industri kendalian kementerian dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut mendapati kadar rizab margin air terawat di Kelantan serta Kedah berada pada tahap negatif.

"Kelantan setakat suku kedua tahun ini berada pada negatif 0.2 peratus, manakala Kedah ialah negatif 2.3 peratus.

"Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di Selangor belum siap sepenuhnya, dengan fasa 1 dijangka siap pada 2023 dan akan meningkatkan rizab margin sebanyak 10 peratus.

"Loji Kampung Teluk di Kelantan pula dengan kapasiti 30 juta liter sehari (JLH) dijangka siap pada tahun depan akan meningkatkan rizab margin sebanyak empat peratus.

"Lima loji di Kedah dalam proses melantik kontraktor dan apabila dijangka siap pada 2023, ia akan meningkatkan rizab margin kepada 21 peratus," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (PN-Jerantut) yang mahu tahu inisiatif kerajaan untuk mengatasi isu margin rizab air terawat negara yang kini berada pada tahap rendah dan apakah perancangan jangka panjang bagi menambah punca air.

Hingga suku kedua tahun ini, Masrizal berkata kadar rizab margin air terawat di seluruh negara berada pada tahap 11.5 peratus iaitu bersamaan 1,943 JLH.

Sehubungan itu, katanya, beberapa pendekatan giat dilaksanakan bagi meningkatkan kadar rizab air terawat, khususnya bagi negeri-negeri yang mencatatkan paras membimbangkan.

"Antaranya merangkumi pembinaan loji rawatan air baharu dan menaik taraf loji rawatan air sedia ada supaya kapasiti pengeluaran loji rawatan air dapat dipertingkatkan.

"Kita juga melaksanakan program kadar air tidak berhasil (NRW) dengan merangkumi kerja-kerja penggantian paip yang usang dan pembaikan tangki-tangki perkhidmatan yang rosak serta bocor.

"Pelaksanaan pengurusan permintaan air dibuat bagi mengurangkan permintaan bekalan air melalui pelbagai kaedah seperti penggunaan mandatori produk cekap air, penerokaan sumber air alternatif, audit kecekapan penggunaan air dan penggunaan sumber air yang lebih berkesan di semua sektor ekonomi seperi domestik, industri serta pertanian.

"Sejajar faktor perubahan iklim, kerajaan menetapkan dasar baru penerokaan sumber air menerusi pembinaan kolam takungan di kawasan hilir sungai melalui kaedah Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), pembinaan ampang jajar, pembinaan perigi takungan melintang dan lain-lain," katanya.

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 di Bestari Jaya. - Foto hiasan NSTP/Aswadi Alias
Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 di Bestari Jaya. - Foto hiasan NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X