IPOH: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Kinta Ipoh di sini bagi menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebentar tadi.
Kenderaan Vellfire dinaiki Ahmad Zahid dilihat memasuki perkarangan istana bersama beberapa kenderaan lain pada jam 9.55 pagi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad tiba di perkarangan istana pada jam 9.57 pagi.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dilaporkan berada di istana pada jam 11 pagi.
Tujuan Ahmad Zahid menghadap Sultan Perak dipercayai bagi menyembah maklum pendirian parti berhubung kemelut terkini politik negeri itu khususnya dalam pemilihan Menteri Besar Perak yang baharu.
Sebelum ini, Saarani disebut-sebut bakal dicalonkan UMNO untuk jawatan Menteri Besar susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas gagal mendapat sokongan dalam usul undi percaya di DUN Perak.
Ahmad Faizal, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN dalam usul keyakinan terhadap menteri besar yang dikemukakan pada persidangan DUN, Jumaat lalu.