Isnin, 7 Disember 2020 | 5:02pm
Pembalakan haram di hutan simpan kekal di Kelantan. - Foto hiasan NSTP
Pembalakan haram di hutan simpan kekal di Kelantan. - Foto hiasan NSTP

16 hutan simpan kekal di Kelantan diceroboh

KOTA BHARU: Sebanyak 16 daripada 37 Hutan Simpan Kekal di Kelantan diceroboh pembalak haram bagi mendapatkan kayu bernilai tinggi, sejak lima tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah, berkata daripada 16 kawasan yang diceroboh itu, kebanyakannya berlaku di jajahan bahagian timur Kelantan.

Beliau berkata, kumpulan pembalak haram itu turut terdiri daripada penduduk setempat, tetapi kegiatan pencerobohan itu masih terkawal kerana hanya membabitkan kumpulan yang kecil.

"Setakat ini, kita kesan ada 10 kumpulan yang melakukan kegiatan itu dan sebahagian daripadanya sudah ditahan serta jentera dan peralatan mereka dirampas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Abdul Khalim berkata, kumpulan itu biasanya mencari kayu berharga di hutan sebelum menebang dan membelahnya untuk dijual.

"Kumpulan ini biasanya amat berkemahiran kerana mampu membelah kayu hanya menggunakan mesin gergaji," katanya.

Beliau berkata, jabatannya mengesan 27 kes pembalakan haram di negeri ini, sejak Mac lalu.

Katanya, kegiatan itu membabitkan hutan di Lebir, Ulu Sat dan Ulu Galas, masing-masing terletak di jajahan bahagian timur dan selatan di Kelantan.

"Dalam operasi terbaru bulan lalu, jabatan merekodkan tiga kes iaitu dua di Jeli dan satu kes di Tanah Merah.

"Kes ini membabitkan pencerobohan hutan dan pemilikan kayu yang tidak berdaftar oleh kilang kayu di Tanah Merah dan disyaki mendapatkannya daripada sumber tidak sah," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X