Ahad, 6 Disember 2020 | 3:08pm
NUTP melihat pemansuhan UPSR akan mengurangkan tekanan kepada murid yang membolehkan mereka belajar mengikut sukatan pelajaran ditetapkan KPM. - Foto hiasan
NUTP melihat pemansuhan UPSR akan mengurangkan tekanan kepada murid yang membolehkan mereka belajar mengikut sukatan pelajaran ditetapkan KPM. - Foto hiasan

Mansuh UPSR: Boleh kurangkan tekanan kepada murid

KUALA LUMPUR: Hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat reaksi positif pelbagai pihak yang menyifatkan ia bertepatan dengan dasar pendidikan di negara ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata pihaknya menyambut baik langkah yang mahu dilaksanakan kementerian itu dan berpandangan pemansuhan berkenaan membolehkan guru memberi fokus kepada kemenjadian murid yang menyeluruh.

Katanya, NUTP melihat pemansuhan akan mengurangkan tekanan kepada murid yang membolehkan mereka belajar mengikut sukatan pelajaran ditetapkan KPM.

"Semua pihak khususnya masyarakat melihat kembali matlamat pendidikan murid di sekolah rendah iaitu untuk memastikan perkembangan potensi murid secara menyeluruh, seimbang dan sepadu.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Presiden NUTP, Aminuddin Awang. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

"Perkembangan ini sudah pastinya meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan berakhlak mulia," katanya mengulas langkah KPM dalam peringkat akhir kajian untuk memansuhkan UPSR.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya, berkata keputusan muktamad mengenai pemansuhan itu akan dibuat tidak lama lagi.

Aminuddin berkata, selama ini, UPSR lebih dilihat sebagai medium persaingan murid untuk memasuki sekolah berasrama penuh dengan hanya menumpukan kepada keputusan cemerlang dalam Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu penulisan, Bahasa Inggeris Pemahaman, Bahasa Inggeris Penulisan, Matematik dan Sains.

Justeru, katanya mata pelajaran seperti Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Muzik, Pendidikan Moral, Pendidikan Seni Visual, Reka Bentuk Teknologi, Sejarah dan yang lain seperti dipinggirkan.

Prestasi pelajar sekolah rendah dan penilaian untuk kemasukan ke sekolah menengah termasuk sekolah berasrama penuh, katanya, Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang merangkumi Penilaian Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik sudah lengkap sebagai suatu dokumen atau medium untuk penilaian murid secara menyeluruh.

Katanya, melalui kaedah berkenaan murid yang sebenarnya layak dan berpotensi sudah dapat diperoleh untuk tujuan kemasukan ke sekolah berasrama penuh.

"Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus(PKSK) yang dilaksanakan pada tahun ini bagi tujuan kemasukan ke sekolah berasrama penuh juga amat baik dan sesuai untuk memilih calon ke sekolah berasrama penuh.

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan

menyambut baik hasrat KPM itu yang dilihat dapat mengurangkan tekanan kepada murid.

Katanya, dengan langkah itu perkembangan murid dapat dilihat secara lebih holistik dan tidak kepada aspek kognitif.

"Pemansuhan ini akan menghilang trauma dan persepsi ibu bapa untuk mengukur kemenjadian anak-anak mereka berdasarkan orientasi peperiksaan semata-mata, sebaliknya mereka perlu melihat setiap anak ada kelebihan dan potensi tersendiri jika dibangunkan dengan betul dan terancang.

"Lagi pun pendidikan kita perlu siap siaga untuk mendepani cabaran guna tenaga masa depan yang berorientasikan IR 4.0.

"Orientasi peperiksaan kadang-kadang membawa sikap membanding beza antara murid yang boleh melemahkan semangat dan rasa rendah diri dalam kalangan mereka.

"Aspek lain ialah mengurangkan beban guru yang tertekan untuk memastikan murid memperoleh A pada peperiksaan UPSR kepada mendidik dan mengembangkan bakat dan potensi murid secara holistik," katanya

Beliau berkata perubahan itu diharap tidak menjadikan murid semakin malas disebabkan tiada persaingan untuk mengejar berapa A, tetapi menyubur potensi dan bakat murid yang memiliki kepelbagaian kecerdasan.

"Namun, pada masa sama i-Guru berharap KPM perlu menambah baik kaedah pentaksiran sedia untuk kemasukan ke sekolah pilihan seperti SBP, SMKA dan MRSM supaya meningkatkan peratusan murid dalam bidang sains dan teknologi (STEM)," katanya.

Berita Harian X