Ahad, 6 Disember 2020 | 9:15am
Kerajaan Sabah memutuskan memberi beberapa kelonggaran untuk beberapa aktiviti ekonomi dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).- Foto hiasan/Bernama
Kerajaan Sabah memutuskan memberi beberapa kelonggaran untuk beberapa aktiviti ekonomi dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).- Foto hiasan/Bernama

Sabah benarkan beberapa kegiatan ekonomi

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan memberi beberapa kelonggaran untuk beberapa aktiviti ekonomi dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor memperincikan prosedur operasi standard (SOP) yang harus dipatuhi.

"Bagi tempoh PKPB yang dilanjutkan ini, beberapa aktiviti ekonomi, hiburan dan perkhidmatan tertentu diberikan kelonggaran seperti restoran, kafe, kedai makan, gerai makan, penjaja, dan kedai serbaneka dibenarkan untuk dilanjutkan masa beroperasi, bermula jam enam pagi hingga 12 malam.

"Kelas tuisyen, muzik, tarian, seni, mengaji berbayar, kelas bahasa berbayar dan sebagainya dibenarkan beroperasi dengan tidak melebihi lima orang dalam satu masa serta tertakluk kepada saiz ruang dengan penjarakan fizikal," katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Beliau berkata, selain itu, aktiviti busking, persembahan muzik dan nyanyian di dalam lokasi tertutup dalam bangunan seperti restoran, kafe, pusat membeli-belah dan ruang rehat hotel adalah juga dibenarkan dengan kawalan masa persembahan dan jumlah penonton.

"Kawalan masa dan jumlah penonton harus mengikut seperti apa yang ditetapkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), pihak berkuasa negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya.

Dalam pada itu, pengangkutan awam di Sabah turut dibenarkan beroperasi semula dengan ketetapan tertentu.

"Perkhidmatan bas ekspres, bas persiaran, bas henti-henti, keretapi, perkhidmatan feri awam dan bot penumpang yang membabitkan rentas negeri dan daerah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus serta pematuhan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

"Perkhidmatan teksi dan 'e-hailing' dibenarkan beroperasi dengan maksimum dua penumpang dengan pematuhan penjarakan fizikal di dalam kenderaan serta pemakaian pelitup muka," katanya.

Hajiji berkata, jumlah kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat kerajaan negeri juga ditingkatkan yang akan berkuat-kuasa bermula esok.

"Mulai 7 Disember, kapasiti kehadiran ke pejabat kerajaan negeri ditingkatkan daripada 30 peratus kepada 50 peratus manakala selebihnya dikehendaki bekerja dari rumah.

"Arahan ini terpakai untuk semua penjawat awam negeri Sabah termasuk PBT, badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC)," katanya.

Berita Harian X