Jumaat, 4 Disember 2020 | 8:03pm

BERSATU kesal isu Menteri Besar Perak

KUALA LUMPUR : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menzahirkan rasa kesal dengan apa yang berlaku dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada hari ini yang menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, gagal mendapat sokongan dalam usul undi percaya terhadapnya.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata BERSATU akan memantau situasi semasa dan pada masa sama akan terus bersama PAS dan rakan parti Perikatan Nasional (PN) yang lain dalam membuat keputusan selanjutnya.

"BERSATU ambil maklum bahawa usul keyakinan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap Menteri Besar Perak sudah ditolak oleh UMNO dan Pakatan Harapan.

"BERSATU sentiasa berpegang teguh dengan prinsip persefahaman dan kerjasama yang terbentuk antara parti-parti kerajaan PN sejak awal tahun ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Biro Politik BERSATU bermesyuarat berikutan isu terbaru di Perak itu.

Hamzah berkata BERSATU juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada empat ADUN BERSATU, tiga ADUN PAS, satu ADUN UMNO dan dua ADUN Bebas yang menyokong usul percaya kepada Ahmad Faizal.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin, petang tadi memanggil beberapa pemimpin utama parti termasuk menteri dari BERSATU di pejabatnya di Putrajaya, petang ini.

Berita Harian X