Khamis, 3 Disember 2020 | 6:59pm
Anggota polis memeriksa surat kebenaran rentas daerah di susur keluar Plaza Tol Elite Putra Heights. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Anggota polis memeriksa surat kebenaran rentas daerah di susur keluar Plaza Tol Elite Putra Heights. - Foto NSTP/Aziah Azmee

68 PATI, 10 tekong ditahan dalam Op Benteng

KUALA LUMPUR: Seramai 68 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) sepanjang tempoh 24 jam, semalam, selepas dikesan cuba memasuki dan keluar dari negara ini secara haram.

Turut ditahan dalam operasi membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) itu adalah 10 tekong yang terbabit mengendalikan PATI berkenaan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pasukan terbabit turut merampas tiga kenderaan darat, satu unit bot sepanjang operasi berkenaan semalam.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasaan akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 296 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan dengan 228 JSR dikendalikan oleh ATM, PDRM dan RELA bagi Op Penawar, manakala dalam Op Benteng, PDRM (59) dan AKSEM (sembilan).

Berita Harian X