Khamis, 3 Disember 2020 | 2:44pm

888,000 pekerja asing kawasan berisiko tinggi perlu saringan COVID-19

KUALA LUMPUR: Seramai 888,000 pekerja warga asing dalam enam kawasan berisiko tinggi, perlu menjalani saringan COVID-19 yang dimulakan sejak kelmarin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagi fasa pertama, sebanyak 100,000 Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) akan diedarkan ke kawasan berkenaan iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah serta Labuan.

"Bagi 48 jam pertama pelaksanaan saringan itu, 367 klinik swasta dan hospital swasta di kawasan terlibat telah mendaftar diri untuk program berkenaan.

"Pada tempoh sama, 19,975 RTK-Ag telah diedarkan untuk digunakan bagi saringan pekerja asing," katanya kepada pemberita pada sidang media khas di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing, berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan lebih banyak kit ujian saringan COVID-19 untuk digunakan dalam saringan berkenaan.

Bernama sebelum ini, melaporkan KSM akan melaksanakan Program Saringan COVID-19 Bagi Pekerja Asing secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi, bermula kelmarin.

Turut dilaporkan bagi membolehkan program dijalankan secara komprehensif, saringan akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama klinik dan hospital swasta. – BERNAMA

Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Berita Harian X