Khamis, 3 Disember 2020 | 10:06am

Johor hantar bakul makanan pada rakyat Malaysia terkandas di Singapura

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor hari ini memulakan proses penghantaran bakul makanan bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata inisiatif bantuan bakul makanan berkenaan diumumkannya dalam Belanjawan Johor 2021, Khamis lalu.

Katanya, kerajaan Johor merancang mengagihkan sebanyak 1,000 bakul

makanan secara berperingkat ke Singapura bagi meringankan bebanan ditanggung pekerja Malaysia di republik berkenaan.

"Misi penyerahan dan pengagihan fasa pertama hari ini membabitkan sebanyak 300 bakul makanan yang membabitkan kos RM30,000 dan ia akan dilakukan dengan segera, selebihnya akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

"Bagi memudahkan proses pengagihan bakul makanan ini, kerajaan Johor akan bekerjasama dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura yang akan dijadikan pusat pengumpulan dan pengagihan.

"Bakul makanan yang akan diagih-agihkan ini mengandungi makanan mudah sedia seperti nasi goreng kampung, nasi goreng daging, nasi goreng ayam, sambal tumis ikan bilis, biskut, selain selimut dan set produk kebersihan diri," katanya ketika acara pelepasan lori bantuan ke Singapura di perkarangan Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Yang turun hadir, Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pegawai Kewangan Johor, Datuk A Rahim Nin.

Pada 22 November lalu, Berita Harian dalam laporan eksklusifnya melaporkan ratusan rakyat Malaysia bekerja di Singapura terkandas di republik itu angkara COVID-19 yang menyaksikan pintu sempadan ditutup bagi mengelak penularan, sekali gus menghalang mereka berulang alik dari Johor seperti biasa.

Disebabkan kos sara hidup tinggi di negara jiran itu, ramai rakyat Malaysia yang sebelum ini berulang alik ke Singapura, terpaksa berkorban bagi menanggung keluarga di kerana ada juga yang dipotong gaji bulanan oleh majikan akibat pandemik COVID-19.

Mereka berehat dan tidur di bangku yang ada di taman awam sekitar republik berkenaan, menggunakan tandas awam atau di medan makan, restoran, surau atau masjid, ada juga yang menumpang mandi di tempat kerja.

Difahamkan, ramai tidak mengambil peluang skim Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) untuk pulang bercuti dan bertemu keluarga di negara ini berikutan pelbagai kekangan, termasuk daripada segi kewangan dan peraturan majikan mereka di republik itu.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, beliau turut mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu melancarkan proses pengumpulan dan pengagihan

Katanya, antara pihak yang membantu merealisasikan misi ini ialah Wisma Putra, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan

Malaysia (MAQIS) dan Johor Corporation (JCorp).

"Turut menjayakannya ialah Perbadanan Pengangkutan Awam Johor, Southern Volunteers dan Heavy Machine Motor Club (HMMC) Johor Bahru," katanya.

Dalam pada itu, Hasni berkata, kerajaan Johor juga akan memulakan gerakan massa bagi orang ramai turut sama membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura.

Hasni (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kanan) melancarkan pelepasan Misi Bakul Makanan kepada rakyat Malaysia di Singapura di Dataran Mahkota Iskandar Puteri Johor. NSTP/ZAIN AHMED
Hasni (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kanan) melancarkan pelepasan Misi Bakul Makanan kepada rakyat Malaysia di Singapura di Dataran Mahkota Iskandar Puteri Johor. NSTP/ZAIN AHMED
Berita Harian X