Rabu, 2 Disember 2020 | 9:33pm
 Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

Najib kemuka 307 alasan rayuan sabitan, hukuman kes SRC

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bekas Perdana Menteri yang memohon supaya dibebaskan daripada kesemua tuduhan berkenaan, berkata Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali terkhilaf dalam fakta dan undang-undang apabila mensabitkan serta menjatuhkan hukuman bagi kesemua tuduhan terhadapnya.

Najib berkata, hakim itu terkhilaf dalam penemuannya apabila memerintahkan beliau dipanggil membela diri terhadap tujuh tuduhan berkenaan.

Beliau berkata, Mohd Nazlan terkhilaf apabila tidak dapat memahami nilai keterangan dan gagal menyedari perbezaan di antara fakta yang dibuktikan, fakta yang tidak dibuktikan, inferen yang patut dibuat dan yang tidak dibuktikan, cadangan serta dakwaan yang tidak dibuktikan.

Katanya, hakim juga membuat penemuan ke atas elemen kesemua tuduhan menggunakan logik akal sendiri yang bertentangan dengan keterangan lisan dan dokumen.

Hakim itu turut didakwa terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mendapati beliau ada kepentingan dalam SRC.

Najib berkata, Mohd Nazlan gagal menimbangkan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menipu dan memanipulasi akaun bank miliknya ketika mensabitkan beliau terhadap tujuh tuduhan terbabit.

Beliau berkata, Mohd Nazlan terkhilaf dalam fakta dan undang-undang melalui penemuannya bahawa pembabitan Jho Low dalam arahan pengeluaran dana dan keterangan lain yang menunjukkan kegunaan dana SRC untuk kepentingan lelaki itu termasuk RM42 juta iaitu perkara pokok dalam tuduhan bukan keterangan yang memihak kepadanya.

Katanya, perkara itu menyokong kedudukan bahawa beliau tidak terbabit dan tidak mengetahui apa-apa mengenai pengeluaran dana daripada akaun SRC.

"Hakim membuat dapatan bahawa adalah tidak masuk akal Jho Low sebagai dalang sebenar, gagal membuat pertimbangan perkara itu adalah satu pembelaan kepada semua tuduhan... hakim terkhilaf dengan menyamakan semua tuduhan dan kes pendakwaan kepada sesuatu yang dianggap sebagai perusahaan jenayah.

"Dengan berbuat demikian, hakim gagal untuk menghargai dan memberi pertimbangan hujahan yang diketengahkan berhubung isu ini.

"Hakim juga terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa dana RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun saya adalah milik SRC dan gagal menghargai ia datang daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd yang tidak diperincikan dalam kertas tuduhan," katanya dalam petisyen rayuan.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mendakwa hakim terkhilaf apabila membuat dapatan bukti keadaan pada masa material bahawa wang derma dalam akaun tidak mencukupi untuk menyokong anggapan beliau bahawa wang yang dibelanjakan adalah sumbangan dari negara Arab Saudi.

"Hakim selanjutnya terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa perkara itu menunjukkan saya mengetahui apabila wang RM32 juta yang dimasukkan dalam akaun pada Disember 2014 dan RM10 juta pada Februari 2015 adalah daripada SRC.

"Hakim juga terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa pembelaan saya mengenai sumbangan daripada Raja Abdullah melalui tiga surat adalah cerita yang dibuat-buat," katanya.

Selanjutnya, Najib berkata hakim terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa kelakuan beliau sebelum dan selepas pengeluaran jaminan kerajaan berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) ke dalam akaun SRC menyokong kes pendakwaan.

Beliau berkata, hakim terkhilaf apabila membuat inferen bahawa tindakan beliau menghalang Menteri Kewangan Kedua ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk memeriksa akaun SRC di Switzerland menunjukkan kepentingannya.

"Hakim juga terkhilaf apabila membuat dapatan kelemahan dalam melaporkan status SRC kepada Bahagian Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) mempunyai kaitan dengan saya hanya berdasarkan keterangan saksi (Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz) yang menyatakan SRC International adalah 'syarikat PM'," katanya.

Hakim Mohd Nazlan juga didakwa terkhilaf dari segi fakta apabila memutuskan bahawa elemen Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah) sudah dibuktikan sedangkan jumlah pengeluaran sebenar daripada akaun SRC ialah RM40 juta dan bukannya RM42 juta seperti dalam tuduhan.

Menurut Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, pasukan pembelaan memfailkan petisyen rayuan pada 19 Oktober lalu selepas mereka diberikan tempoh lanjutan selama 30 hari pada September lalu.

Rayuan Najib ditetapkan untuk pendengaran selama 12 hari bermula 15 hingga 18 Februari, 22 hingga 25 Februari dan 1 hingga 4 Mac 2021.

Beliau kini berada dalam jaminan RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu keputusan rayuan.

Berita Harian X