Rabu, 2 Disember 2020 | 4:10pm
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein

Malaysia gesa JWG ASEAN-EU bersidang bincang isu minyak sawit

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Kumpulan Kerja Bersepadu (JWG) antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) bersidang pada Januari tahun depan bagi mencari penyelesaian menyeluruh berhubung isu minyak sawit.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata salah faham dan persepsi yang tidak tepat EU terhadap kelestarian minyak sawit memberi impak negatif kepada industri itu di Malaysia.

"Impak negatif ini memberi kesan kepada lebih 500,000 pemegang taruh sektor minyak sawit dan kesan berganda bukan sahaja kepada petani, malah keluarga serta komuniti setempat.

"Justeru, saya bersama rakan ASEAN lain dalam meningkatkan lagi hubungan sebagai rakan strategik antara ASEAN dan EU, menekankan keperluan supaya JWG bersidang seawal Januari 2021," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN-EU secara maya semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan dan Wakil Tertinggi Hal Ehwal Luar dan Keselamatan EU, Josep Borrell.

Hishammuddin turut memberi penekanan keperluan ASEAN-EU menggandakan usaha membangunkan rangka usaha sama terutama dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-EU ketika dunia berdepan kesan ekonomi akibat penularan COVID-19.

Selain itu, beliau mengulangi pendirian Malaysia bersedia menandatangani Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif ASEAN-EU (ASEAN-EU CATA).

"Malaysia bersedia menyertai negara ASEAN lain untuk menandatangani ASEAN-EU CATA dan kami berharap dibenarkan meratifikasi perjanjian terbabit selepas Malaysia bersedia melaksanakan tanggungjawab di bawah perjanjian ini," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Hishammuddin menegaskan pendirian Malaysia tidak akan toleransi dalam apa jua bentuk ekstremisme dan sebarang ucapan berbaur kebencian.

Jelasnya, ASEAN dan EU perlu bersama menangani isu terbabit dengan mencari dan memahami punca yang menyebabkan timbulnya masalah terbabit.

Berita Harian X