Selasa, 1 Disember 2020 | 4:21pm
Batalion 3 PGA menamatkan tugas menjaga sempadan Malaysia-Thailand. Foto hiasan
Batalion 3 PGA menamatkan tugas menjaga sempadan Malaysia-Thailand. Foto hiasan

Masih ada misi belum selesai - Batalion 3 PGA

PADANG BESAR: Walaupun tempoh pasukan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) bertugas menjaga sempadan Malaysia-Thailand tamat secara rasmi tetapi anggota dan pegawainya berasa masih ada misi yang belum selesai,

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Rosman Kasman, berkata hari ini adalah hari terakhir penugasan selama sebulan Batalion 3 PGA yang berpangkalan di Bidor, Perak di sempadan dan mereka akan digantikan dengan Batalion 2 PGA dari Kulim, Kedah.

"Misi selesai namun kaki kami berat untuk pulang seperti ada sesuatu yang tidak lengkap iaitu saki baki penyeludup yang terbabit dalam insiden tembak rakan kami masih bebas," katanya.

Dalam kejadian minggu lalu, seorang anggota batalion itu Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban, manakala rakannya Sarjan Norihan Tari, 39, cedera parah selepas diserang sekumpulan penyeludup ketum ketika bertugas menjaga sempadan negara.

"Walaupun semua 310 anggota Batalion 3 PGA berjaya menamatkan tugasan dengan cemerlang, jauh dari sudut hati kami tersimpan perasaan pilu dengan kehilangan mendiang yang juga anggota berpengalaman," katanya.

Sehari selepas Baharudin dan Norihan diserang, seorang lagi anggota daripada batalion sama yang sedang bertugas di Pos M16 di Bukit Kayu Hitam juga cedera selepas terkena tembakan senapang angin dipercayai juga angkara penyeludup.

Rosman berkata, anggotanya yang sebahagiannya dari unit Senoi Praaq melakukan tugas dengan amanah, jujur dan berintegriti kerana bukan mudah untuk menjalankan tugas di sempadan.

"Kelebihan anggota Senoi Praaq ialah mereka menjalankan tugas dengan amanah dan setia dengan setiap arahan yang diberikan. Sepanjang penugasan saya tidak pernah menerima sebarang laporan unsur rasuah kerana mereka mempunyai disiplin dan integriti yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, kejujuran tertanam dalam setiap anggota Senoi Praaq adalah satu legasi yang diwarisi daripada generasi lama pada awal penubuhannya hingga ke hari ini.

"Insiden tembakan baru-baru ini membuktikan anggota Batalion 3 mempunyai integriti tinggi dan tidak gentar dengan musuh negara," katanya.

Katanya, sejak Ops Bersepadu dilancarkan, kumpulan besar penyeludup daun ketum mula menghentikan aktiviti mereka dan yang tinggal hanya beberapa cubaan daripada penyeludup secara berseorangan.

Sementara itu, katanya pihaknya bercadang untuk membina sebuah tugu peringatan di lokasi kejadian sebagai mengingati jasa mendiang dan pembakar semangat kepada anggota PGA dan pasukan lain menjalankan amanah yang diberikan iaitu menjaga kedaulatan sempadan negara.

"Kita juga akan membina sebuah astaka bola di Kem PGA Bidor, Perak bagi melaksana impian mendiang yang meminati sukan bola sepak dan astaka itu akan dikenali BahaBola," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X