Selasa, 1 Disember 2020 | 2:20pm
Vaksin pneumokokal diberi secara percuma. - Foto hiasan NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Vaksin pneumokokal diberi secara percuma. - Foto hiasan NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN

Vaksin pneumokokal diberi hari ini

RAUB: Pemberian vaksin pneumokokal di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak bermula serentak hari ini, di semua klinik kesihatan seluruh negara, dengan jangkaan bakal memanfaatkan 500,000 kanak-kanak setiap tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya layak menerima suntikan vaksin itu yang akan diberikan sebanyak tiga dos.

Katanya, dua dos primer pada usia empat bulan dan enam bulan, diikuti dos penggalak pada umur 15 bulan.

Beliau berkata, bagi kanak-kanak yang lahir dalam tempoh sama dan berumur lima bulan atau lebih, atau mereka yang terlewat menerima vaksin itu akibat wabak COVID-19, jadual imunisasi pneumokokal akan disesuaikan mengikut umur oleh kemudahan kesihatan kementerian.

"Pemberian vaksin pneumokokal kaedah paling berkesan untuk menghalang jangkitan bakteria pneumokokus dan secara tidak langsung mengurangkan kerintangan terhadap antibiotik. Vaksin ini juga selamat dan berkesan.

"Pemberian vaksin ini sangat penting dan bertepatan dengan keadaan semasa ekoran bilangan kanak-kanak menghidap penyakit pneumokokal meningkat, iaitu 17,446 kes pada 2017 kepada 19,773 kes pada tahun lalu," katanya selepas melancarkan Program Imunisasi Pneumokokal untuk Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Raub di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kawalan Penyakit kementerian, Datuk Dr Norhayati Rusli, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman dan Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah.

Pemberian vaksin itu bertujuan menghalang jangkitan bakteria streptococcus pneumoniae atau pneumokokus, yang boleh menyebabkan penyakit seperti radang paru-paru (pneumonia), radang sinus (sinusitis), jangkitan telinga tengah (otitis media), radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) serta jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia).

Dr Adham berkata, komplikasi penyakit pneumokokal termasuk cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian.

Katanya, kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah, golongan yang paling berisiko tinggi dijangkiti dan mengalami komplikasi penyakit ini.

"Selain mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit berkaitan, pemberian vaksi ini juga dapat mengurangkan kos rawatan," katanya.

Dr Adham berkata, kementerian sentiasa memastikan vaksin yang digunakan berkesan dan selamat, namun ibu bapa diminta melaporkan kesan sampingan vaksin berkenaan, jika ada, kepada anggota kesihatan atau melaporkannya melalui laman sesawang npra.gov.my.

Kementerian itu juga akan menyediakan vaksin berkenaan melalui pasukan bergerak Orang Asli, perkhidmatan bas bergerak, bot bergerak dan perkhidmatan doktor udara bagi penduduk pedalaman dan jauh daripada kemudahan kesihatan.

Sementara itu, Rusnaini Ishak, 37, yang ditemui selepas membawa anaknya, Hazim Syafi Hashazuraimy berusia lapan bulan menerima vaksin berkenaan berkata, setiap ibu wajar mengambil langkah pencegahan penyakit kepada anak-anak mereka.

"Saya memang ambil berat mengenai suntikan vaksin ini kerana sedar ia sangat penting untuk mencegah anak daripada penyakit," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X