Selasa, 1 Disember 2020 | 12:53pm

PARLIMEN: Kecoh isu silap kira

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, memaklumkan tidak berniat menipu dewan susulan kesilapan ketika proses undian belah bahagian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), menjelaskan sudah memohon maaf kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, susulan kesilapan pengiraan itu.

"Ketika membuat pengiraan undi, saya sebelum itu ada melihat Padang Rengas (Datuk Seri Nazri Aziz) dalam dewan, cuma semasa (prosedur) yang berkenaan tiada.

"Saya yakin Padang Rengas ada. Saya tidak ada niat untuk menipu dewan atau untuk melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan peraturan," katanya ketika diberi ruang pencelahan pada sesi perbahasan RUU peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat, hari ini.

Penjelasan itu menyebabkan ramai Ahli Parlimen pembangkang bangun menggesa Shabudin dikenakan tindakan tegas termasuk dirujuk ke Jawatankuasa Khas dan Kebebasan Parlimen.

Sidang dewan yang ketika itu berada dalam peringkat jawatankuasa dan dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, terus kecoh dan berlarutan selama kira-kira 20 minit.

Ia menyebabkan sesi perbahasan RUU peringkat jawatankuasa Kementerian Luar turut tergendala seketika.

Antara yang bangun ialah RSN Rayer (PH-Jelutong), Cha Kee Chin (PH-Rasah), Hannah Yeoh (PH-Segambut), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar), Steven Sim (PH-Bukit Mertajam), Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) dan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang),

Pada satu ketika, Mohamaed Hanipa bangkit dan mendakwa tindakan Mohd Rashid sebagai 'memalukan' dan sewajarnya meletak jawatan.

Perkara itu dipandang serius Mohd Rashid dan mengarahkan Mohamed Hanipa menarik balik perkataan 'memalukan' atas kiraan tiga atau diarah keluar dewan sebelum ditarik balik oleh bekas timbalan menteri itu.

Mohd Rashid menjelaskan, kesilapan sama juga pernah berlaku pada November 2016 selepas Ahli Parlimen Kapar (ketika itu) yang bertindak sebagai penghitung undi tersilap kira.

Terdahulu, beliau memaklumkan berlaku kesilapan dalam mengira undi oleh Shabudin semalam, namun ia tidak menjejaskan keputusan kelulusan yang diberi kepada RUU peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan.

"Saya meminta supaya keputusan belah bahagi RUU Kementerian Kewangan ditukar kepada 18 tidak hadir berbanding 19 yang diumum semalam dan 107 bersetuju ditukar kepada 106 bersetuju," katanya ketika membacakan kenyataan dikeluarkan Azhar.

Mohd Rashid juga memberi jaminan supaya proses undian selepas ini dilakukan dengan lebih teliti bagi mengelak kesilapan sama berulang.

Kekecohan itu turut menyebabkan Lim Lip Eng (PH-Kepong) terlepas peluang berbahas kerana kesuntukan masa.

Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon. - Ihsan Parlimen
Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon. - Ihsan Parlimen
Berita Harian X