Isnin, 30 November 2020 | 2:42pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menghadiri sesi Sidang Dewan Rakyat, hari ini. - Foto BERNAMA

RUU Perbekalan 2021 bagi JPM lulus peringkat jawatankuasa

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat sebentar tadi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi undi belah bahagi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, ketika mengumumkan keputusan undian berkata, sejumlah 105 undi menyokong, 95 tidak bersetuju manakala 20 Ahli Parlimen tidak hadir.

Undian belah bahagi dijalankan selepas lebih 15 Ahli Parlimen bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi kaedah itu.

Terdahulu, Azhar memutuskan sidang ditempohkan selama 10 minit lagi, iaitu tambahan selepas dua minit loceng dibunyikan bagi membolehkan undian dijalankan termasuk masa diberi kepada Ahli Parlimen untuk berada di dalam dewan.

Sidang ditempohkan itu menjadi kelaziman Yang Dipertua sebelum ini, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik COVID-19, yang mana kebenaran masuk Ahli Parlimen di dewan dihadkan untuk 80 orang termasuk kerajaan dan pembangkang.

Sebelum itu, sesi penggulungan RUU bagi JPM dilakukan oleh lima menteri JPM dimulakan dengan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Datuk Seri Mustapa Mohamad, Datuk Takiyuddin Hasan dan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

JPM diperuntukkan RM11.69 bilion dalam Belanjawan 2021 iaitu RM4.47 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM7.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Selepas JPM, RUU peringkat sama bagi Kementerian Kewangan akan dibahaskan dan diputuskan petang ini manakala sidang Dewan Rakyat hari ini turut dilanjutkan hingga jam 4 petang.

Berita Harian X