Isnin, 30 November 2020 | 11:52am

3 suspek samun, bunuh pesara MARDI ditahan di hotel residensi KL

KUALA LUMPUR: Tiga suspek kes samun dan bunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Wan Hassan Wan Embong, ditahan di sebuah hotel residensi, di Jalan Anjung Putra, Off Jalan Sultan Ismail, di sini, petang semalam.

Ketiga-tiga suspek ditahan bersama tujuh lagi lelaki lain dipercayai kenalan mereka di residensi berkenaan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan Wangsa Maju.

Sumber berkata, pada masa ini, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan tujuh lagi lelaki berkenaan.

"Pihak polis turut menemui kereta digunakan semasa kejadian samun berkenaan yang diletakkan suspek di stesen minyak di Taman Melati, di sini.

Kediaman Dr Wan Hassan Wan Embong yang dipecah masuk.
Kediaman Dr Wan Hassan Wan Embong yang dipecah masuk.

Tiga suspek utama terbabit dilaporkan memecah masuk kediaman Wan Hassan di Bukit Bandaraya, Bangsar di sini, sekitar jam 3.30 pagi hingga berlaku pergelutan dan menyebabkan bekas Pengarah MARDI itu maut.

Suspek sama kemudian memecah masuk sebuah kediaman banglo tiga tingkat didiami lebih 10 mangsa di Taman Tasik Titiwangsa di sini, pada jam 5.30 pagi.

Kediaman Dr Wan Hassan Wan Embong yang dipecah masuk.
Kediaman Dr Wan Hassan Wan Embong yang dipecah masuk.

Di lokasi kejadian samun kedua itu, suspek dipercayai membuang dompet milik Wan Hassan ketika melarikan diri selepas menyamun kediaman kedua.

Berdasarkan maklumat dan siasatan, suspek kemudian diberkas di residensi di Jalan Anjung Putra pada jam 4 petang, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin dijangka akan mengadakan sidang media berhubung penangkapan suspek kes ini pada jam 3 petang ini.

Berita Harian X