Sabtu, 28 November 2020 | 5:56pm
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO BERNAMA

577 ditahan ingkar PKP semalam

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 577 individu, semalam, atas kesalahan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 522 orang dikompaun dan 55 direman.

Beliau berkata, kesalahan dikesan termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (215), aktiviti di pusat hiburan (116), tidak memakai pelitup muka (113), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (71), dan merentas negeri serta daerah PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (53).

"Pada hari sama, Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM membuat 63,722 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,737 pasukan pematuhan membabitkan 13,387 anggota telah membuat pemantauan terhadap 3,426 pasar raya, restoran (4,949), penjaja (1,866), kilang (1,336), bank (3,435) dan pejabat kerajaan (552).

"Sebanyak 941 terminal pengangkutan darat, 231 terminal pengangkutan air dan 83 terminal pengangkutan udara turut dipantau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua penyeludup ditahan, manakala empat kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng, semalam.

Selain itu, beliau berkata, 278 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan pelbagai agensi keselamatan, termasuk PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Sebanyak 212 SJR menerusi Op Penawar dijalankan oleh ATM, PDRM serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA); Op Benteng oleh PDRM (57) dan Op Benteng oleh Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) (sembilan)," katanya.

Seterusnya, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan 637 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan membabitkan 467 peruncit, 139 pemborong serta 31 pengilang, semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan adalah mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan, selain mudah diperoleh.

Berita Harian X