KOTA KINABALU: PERKESO menyumbangkan 280 set peralatan perlindungan Diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk kegunaan petugas barisan hadapan.
Ketua Eksekutif, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pihaknya menyedari keperluan mendesak petugas barisan hadapan Sabah yang memerlukan PPE susulan peningkatan kes COVID-19.
"Oleh itu, PERKESO mengambil inisiatif menghasilkan PPE bagi menampung keperluan berkenaan.
"Semua 280 set PPE dihasilkan di Bengkel Jahitan Vokasional, Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, Melaka dalam tempoh lima hari. Set PPE dihasilkan 15 individu termasuk pelatih vokasional dan Orang Berinsurans PERKESO yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat terbabit.
"PERKESO bukan sahaja menyediakan faedah kepada pekerja yang ditimpa bencana, malah kami juga mengutamakan keselamatan petugas barisan hadapan terutama dalam menangani keperluan bekalan PPE di semua hospital," katanya.
Penyerahan PPE telah dibuat oleh Pengarah Pejabat PERKESO Negeri Sabah, Dr Mohd Ali Hindia kepada Pengarah JKNS, Datuk Dr Christina Rundi.