Sabtu, 28 November 2020 | 12:35am
Keadaan banjir di Kemaman. - NSTP/FOTO IHSAN PENDUDUK
Keadaan banjir di Kemaman. - NSTP/FOTO IHSAN PENDUDUK

Banjir semakin buruk di Kemaman, 956 mangsa dipindahkan

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kemaman, meningkat daripada 659 kepada 956 orang, setakat jam 10 malam tadi.

Mangsa banjir daripada 234 keluarga itu ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah berkenaan.

Anggota bomba membantu mangsa banjir di Kemaman untuk berpindah. - NSTP/FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba membantu mangsa banjir di Kemaman untuk berpindah. - NSTP/FOTO IHSAN BOMBA

Pertambahan itu menjadikan keseluruhan mangsa banjir dipindahkan ke 11 PPS di lima daerah negeri ini sudah mencecah 1,335 orang daripada 347 keluarga.

Di Kemaman, lima PPS diaktifkan ialah Dewan Serbaguna FELDA Seberang Tayor, Dewan Serbaguna Kampung Air Putih, Balai Raya Kampung Teladas, Masjid Kampung Dadong dan Surau Haji Othman.

Di Dungun pula, 331 mangsa banjir daripada 97 keluarga ditempatkan di dua PPS, setakat ini.

Kuala Terengganu menyaksikan 17 mangsa banjir daripada empat keluarga ditempatkan di sebuah PPS; Kuala Nerus pula 17 orang daripada tujuh keluarga (dua PPS); dan Marang merekodkan 14 orang daripada lima keluarga (sebuah PPS).

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, memaklumkan bahawa ada kawasan di sepanjang Sungai Kemaman berisiko banjir dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang berikutan keadaan cuaca hujan berterusan.

"Justeru, penduduk di kawasan rendah dinasihatkan agar sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa," katanya.

Berita Harian X