Jumaat, 27 November 2020 | 11:55pm

PDRM umum pertukaran jawatan 10 pegawai kanan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran jawatan 10 pegawai kanan, termasuk Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Ibrahim Saad, berkuat kuasa 28 Disember depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad, berkata jawatan baharu Ibrahim ialah Timbalan Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Sempadan, Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.

Pertukaran lain membabitkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid yang akan dilantik menjadi Ketua Staf Pasukan Siasatan Khas/Teknikal, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Kementerian Dalam Negeri.

"Jawatan Nik Ros Azhan akan digantikan oleh Penolong Pengarah (D4) Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff, dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim akan dilantik sebagai Senior Asisten Komisioner (Perisikan/Siasatan Khas) cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Asmawati berkata, Penolong Pengarah Pengurusan Urus Setia Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Shukri Ismail akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Urus Setia (Teknologi) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor, Superintendan Ismail Dollah pula akan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Batu Pahat dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Seterusnya, Timbalan Komandan PULAPOL Langkawi, Superintendan Mohd Junaidi Mat Akhir akan dilantik sebagai Komandan PULAPOL, Kedah, dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Asmawati berkata, pertukaran turut membabitkan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin yang akan dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

"Pegawai Turus Perolehan Am, Cawangan Perolehan Bahagian Kewangan/Perolehan/Kepolisan Am, Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Superintendan Rose Baini Kasim akan dilantik menjadi Penolong Pengarah Pengurusan, Urus Setia Jabatan Pengurusan Bukit Aman, dengan memangku pangkat Asisten Komisioner," katanya.

Pegawai Turus E8F, Cawangan Khas Bukit Aman, Superintendan Shariman Ashari pula bakal memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Langkawi dengan memangku pangkat Asisten Komisioner. – BERNAMA

Berita Harian X