Jumaat, 27 November 2020 | 10:41pm
(Gambar fail) Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun. - NSTP/MALAI ROSMAH TUAH
(Gambar fail) Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun. - NSTP/MALAI ROSMAH TUAH

COVID-19: Pitas, Kalabakan bertukar jadi Zon Merah

KOTA KINABALU: Pitas dan Kalabakan bertukar menjadi Zon Merah, hari ini, apabila merekodkan lebih 40 kes aktif COVID-19 susulan pertambahan jangkitan baharu.

Perkembangan itu sekali gus menyaksikan 15 daerah kini berada dalam kategori Zon Merah di Sabah berbanding hanya 13, semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Sabah, Pitas mencatatkan empat kes baharu, hari ini.

Katanya, pertambahan itu berbanding jumlah 40 kes aktif setakat semalam, menjadikan Pitas bertukar daripada Zon Jingga kepada Zon Merah.

Beliau berkata, Kalabakan turut mencatat empat jangkitan baharu menyebabkan daerah itu bertukar menjadi Zon Merah dengan 43 kes aktif dalam tempoh 14 hari.

"Sabah mencatatkan 441 jangkitan baharu, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif mencecah 27,679 kes," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, Kerajaan Sabah memberi kelonggaran untuk aktiviti 'busking' diadakan di lokasi tertutup (dalam bangunan) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, ia harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Ia hanya boleh diadakan dengan kawalan masa persembahan dan jumlah penonton ditetapkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Berita Harian X