Jumaat, 27 November 2020 | 8:18am
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin

Belanjawan 2021: Bukti kerajaan prihatin kehendak rakyat

KOTA KINABALU: Penambahbaikan diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021), semalam membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kehendak rakyat.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia juga menunjukkan kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan dan memahami bebanan yang ditanggung rakyat yang ketika ini berhadapan dengan kemelut ekonomi disebabkan penularan COVID-19.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, sokongan majoriti Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang sehingga ia diluluskan tanpa undi belah bahagian bukti jelas belanjawan itu diterima semua pihak.

"Alhamdulillah majoriti Ahli Parlimen meletakkan kepentingan rakyat dengan memberikan sokongan yang membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar.

"Ini juga satu pengiktirafan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memandangkan ia adalah belanjawan pertama kerajaan yang diketuainya," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata aspek utama diberikan perhatian kerajaan dalam Belanjawan 2021 tertumpu kepada bantuan yang menambah aliran tunai rakyat dan perniagaan.

Katanya, bantuan kewangan langsung dan usaha mewujudkan pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran yang digariskan dalam belanjawan itu adalah demi kepentingan rakyat.

"Contohnya, Program I-Sinar yang dibuka untuk semua lapan juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pengeluaran maksimum RM10,000 membolehkan rakyat mempunyai wang untuk berbelanja dan menyara kehidupan keluarga," katanya.

Ketua UMNO Sabah itu turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Pusat kerana menambah RM50 juta lagi dana bagi memerangi COVID-19 di Sabah.

Katanya, sebagai negeri yang sangat terkesan dengan penularan COVID-19, peruntukan itu boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kemudahan kesihatan bagi membendung penularan virus berkenaan.

"Selain pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup, Belanjawan 2021 juga amat penting bagi kerajaan dan pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan meneruskan dasar serta usaha memerangi COVID-19," katanya.

Berita Harian X