Khamis, 26 November 2020 | 8:08pm

MSU di kedudukan 139 terbaik di Asia

KUALA LUMPUR: Management and Science University (MSU) meraih kedudukan universiti ke-139 terbaik di Asia berdasarkan laporan Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2021.

Institusi pengajian tinggi (IPT) itu turut disenaraikan dalam kalangan 21 peratus universiti terbaik di Asia.

MSU dalam kenyataan berkata pencapaian itu adalah lonjakan 40 tangga berbanding kedudukan ke-179 pada edisi sama 2020.

"Pencapaian terbaik MSU merangkumi indikator nisbah fakulti antarabangsa iaitu di kedudukan ke-31, nisbah pertukaran keluar pelajar (31), nisbah pertukaran masuk pelajar (41), reputasi majikan (89), nisbah pelajar kepada fakulti (136) dan reputasi akademik (138).

"Pencapaian MSU sebagai antara universiti terbaik di Asia bagi 2021 adalah petunjuk positif dalam aspirasi universiti dalam mempelopori kecemerlangan pendidikan tinggi di peringkat Malaysia, Asia serta global.

"Ia juga menunjukkan MSU berada di landasan yang tepat dengan matlamat dan visi utama iaitu melahirkan graduan yang mempunyai personaliti yang seimbang, holistik dan kompeten serta mencapai tahap tertentu di peringkat antarabangsa," katanya.

Katanya, MSU turut menekankan kepada pembangunan universiti dan melahirkan graduan holistik di masa depan melalui enam indikator tersendiri iaitu industri dan kebolehpasaran, keusahawanan, pengantarabangsaan, komponen penyelidikan, program lestari dan komuniti serta pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat.

"Institusi juga memainkan peranan penting ke arah memperkasa masa depan serta menyediakan akses pendidikan kepada semua peringkat lapisan masyarakat selaras dengan tagline universiti, Transforming Lives, Enriching Future," menurut kenyataan itu.

QS Quacquarelli Symonds ialah agensi berpangkalan di United Kingdom yang membuat penarafan tahunan universiti membabitkan 650 universiti utama di 18 negara Asia.

Berita Harian X