Khamis, 26 November 2020 | 6:11pm
DARI kiri Ahmad Maslan, Ahmad Zahid.
DARI kiri Ahmad Maslan, Ahmad Zahid.

Belanjawan 2021: Kejayaan besar atas muafakat demi rakyat

KUALA LUMPUR: Sokongan majoriti yang menyaksikan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 diluluskan di peringkat dasar hari ini, menggambarkan cerminan solidariti UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menyuarakan pendirian itu, berkata dua syarat menyokong Belanjawan 2021 juga diperakui sepenuhnya.

"Alhamdulillah. Keputusan parti melalui MKT (Majlis Kerja Tertinggi) yang menyokong Belanjawan 2021 dengan dua syarat diperakui sepenuhnya. Solidariti UMNO dan BN terpancar melalui kelulusan belanjawan itu," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan 2021 di peringkat dasar selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang, tanpa melalui undian belah bahagian.

Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada jam 3.30 petang sejurus selesai penggulungan RUU berkenaan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pula menyifatkan Belanjawan 2021 yang diluluskan itu sebagai kejayaan besar atas muafakat dan perundingan yang baik demi rakyat.

Katanya, hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun untuk meminta supaya undi belah bahagian diadakan, namun gesaan itu ditolak Speaker kerana tidak menepati syarat minimum 15 orang seperti diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Lulus dengan suara ramai. Tiada belah bahagi. Tak mengundi. Kejayaan besar atas muafakat dan perundingan yang baik demi rakyat. @tzafrul_aziz (Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) jalankan tugas yang cemerlang sebagai menteri," katanya.

Berita Harian X