Khamis, 26 November 2020 | 2:28pm
Hasni Mohammad berucap pada pembentangan Belanjawan Johor 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Johor. Foto/Ihsan Pejabat Menteri Besar Johor.
Hasni Mohammad berucap pada pembentangan Belanjawan Johor 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Johor. Foto/Ihsan Pejabat Menteri Besar Johor.

Johor akan hantar bakul makanan pada rakyat Malaysia terkandas di Singapura

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan menghantar bakul makanan kepada rakyat Johor termasuk pekerja Malaysia yang terkandas di Singapura.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata bantuan berkenaan akan disalurkan bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas dan kesempitan di republik itu.

"Kita akan bekerjasama dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan Persatuan Malaysia-Singapura dalam mengagihkan bantuan bakul makanan pada rakyat Malaysia yang terkandas dan terjejas di Singapura, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Johor Yang Ke-14 di sini, hari ini.

Kelmarin, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, kerajaan akan mengambil langkah segera bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura, selepas sempadan kedua negara ditutup akibat pandemik COVID-19.

Hishammuddin dalam laporan itu, berkata Malaysia pada dasarnya tidak pernah menyekat mereka untuk kembali ke tanah air, walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

Katanya, siasatan juga akan dilakukan bagi mengenal pasti punca yang menyekat mereka daripada pulang, hingga terpaksa meneruskan hidup sebagai gelandangan di negara jiran.

Ahad lalu, BH menyiarkan laporan eksklusif mengenai ratusan rakyat Malaysia yang kini hidup bagaikan gelandangan di negara jiran itu, susulan penutupan pintu sempadan.

Kos sara hidup tinggi di Singapura membuatkan mereka yang selama ini berulang alik dari Johor Bahru terpaksa berehat dan tidur di bangku taman awam, masjid atau menumpang mandi di pejabat.

Difahamkan, ramai tidak mengambil peluang skim Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) untuk pulang bercuti dan bertemu keluarga di negara ini berikutan pelbagai kekangan, termasuk dari segi kewangan, selain terikat dengan peraturan dikenakan majikan.

Pekerja juga dikatakan tidak dibenarkan bercuti panjang berikutan bebanan kerja ketika penularan COVID-19, selain perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebelum dibenar masuk ke Malaysia dan sebelum dibenarkan masuk kembali ke Singapura.

Berita Harian X