Khamis, 26 November 2020 | 2:14pm
DARI kiri Usahawan sektor automotif, Mohammad Alif A Rahim, Kakitangan awam, Muhammad Zarim Jamalluddin, Kakitangan swasta, Mahirah Zakaria dan Pegawai pemasaran, Muhammad Hamizan Jamadi.
DARI kiri Usahawan sektor automotif, Mohammad Alif A Rahim, Kakitangan awam, Muhammad Zarim Jamalluddin, Kakitangan swasta, Mahirah Zakaria dan Pegawai pemasaran, Muhammad Hamizan Jamadi.

Rakyat minta Ahli Parlimen ketepikan perbezaan, luluskan Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR: Orang ramai meminta Ahli Parlimen mengetepikan perbezaan dan tidak memperjudikan nasib rakyat, sekali gus mengundi untuk meluluskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ini kerana peruntukan dalam Belanjawan 2021 tidak hanya terhad untuk menangani pandemik COVID-19, bahkan bertujuan memulihkan ekonomi dan mengekalkan kestabilan dan keselamatan negara.

Rata-rata menggesa Ahli Parlimen, sama ada di blok kerajaan mahu pun pembangkang mengetepikan perbezaan politik dan meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan.

Muhammad Hamizan Jamadi.
Muhammad Hamizan Jamadi.

Pegawai pemasaran, Muhammad Hamizan Jamadi, 28, berharap Belanjawan 2021 diluluskan supaya semua pihak terkesan dengan pandemik COVID-19 dapat menikmati hasilnya.

Selain itu, katanya, Belanjawan 2021 perlu diluluskan bagi menjamin kelangsungan kehidupan rakyat, terutama ketika berdepan detik getir ini.

"Saya berharap ahli politik tidak hanya mementingkan diri, sebaliknya fokus kepada keperluan rakyat terkesan dengan keadaan semasa.

"Ahli politik perlu mengetepikan perbezaan dan tidak memperjudikan nasib bakal dialami rakyat," katanya kepada BH dalam tinjauan orang ramai, hari ini.

Terdahulu, Sidang Dewan Rakyat hari ini berlangsung sehingga usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar diputuskan.

Ia bermakna, baki sembilan kementerian akan menghabiskan sesi penggulungan sebelum pengundian RUU Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 dilakukan secara belah bahagi.

Muhammad Zarim Jamalluddin.
Muhammad Zarim Jamalluddin.

Sementara itu, kakitangan awam, Muhammad Zarim Jamalluddin, 31, berkata Belanjawan 2021 perlu diluluskan bagi memastikannya dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Katanya, peruntukan itu bukan sahaja penting bagi menangani pandemik COVID-19, sebaliknya turut merangkumi aspek pertahanan dan keselamatan negara.

"Bayangkan jika penjawat awam tidak diberikan gaji hanya kerana Belanjawan 2021 tidak diluluskan, tentunya implikasi lebih besar akan berlaku selepas itu.

"Malah, negara mungkin berdepan ancaman lebih besar, membabitkan aspek keselamatan, sosial dan sebagai yang menjurus kepada peningkatan bilangan kes jenayah," katanya.

Mahirah Zakaria.
Mahirah Zakaria.

Bagi pekerja swasta, Mahirah Zakaria, 32, pula berpandangan negara mungkin berdepan ketidakstabilan ekonomi dan sosial lebih ketara, jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.

"Sekarang pun sudah ramai hilang kerja akibat pandemik COVID-19, tetapi banyak hutang perlu dibayar, bebanan rumah tangga dan sebagainya.

"Ini akan mewujudkan kesan negatif sangat teruk. Justeru, Belanjawan 2021 perlu diluluskan bagi membela setiap lapisan masyarakat," katanya.

Mohammad Alif A Rahim.
Mohammad Alif A Rahim.

Di Pasir Gudang, usahawan sektor automotif, Mohammad Alif A Rahim, 34, berkata Belanjawan 2021 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu bersifat menyeluruh.

"Kalau boleh kita sebagai rakyat minta Ahli Parlimen untuk menerima bajet ini dan mengharapkannya (penyaluran peruntukan dapat) dipercepatkan.

"Terutama kelulusan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 kerana golongan B40 dan M40 memang terkesan dan amat memerlukan bantuan segera.

"Kami mengharapkan Belanjawan 2021 ini dapat dipercepatkan dan dipermudahkan," katanya.

Berita Harian X