Khamis, 26 November 2020 | 9:20am
Anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Lans Koperal Bob Rizan Jang, 27, yang hampir terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand dalam kejadian pertama 12 November lalu.NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Lans Koperal Bob Rizan Jang, 27, yang hampir terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand dalam kejadian pertama 12 November lalu.NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI

Kejadian tembak di sempadan Malaysia-Thai, kali keempat bulan ini

BUKIT KAYU HITAM: Kejadian tembakan membabitkan anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berlaku semalam adalah kali keempat sejak pasukan itu mengambil alih kawalan sempadan Malaysia-Thailand sejak awal bulan ini.

Kejadian pertama berlaku pada 12 November lalu, diikuti 15 November sebelum kejadian kelmarin yang mengorbankan Sarjan Baharuddin Ramli dan semalam membabitkan anggota berusia 26 tahun yang sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam.

Bagi Lans Koperal Bob Rizan Jang, 27, yang terbabit dalam kejadian pertama 12 November lalu, dia bersyukur terselamat namun berasa geram setiap kali teringatkan insiden itu.

Menceritakan semula kejadian itu, Bob Rizan berkata, kejadian berlaku sekitar 6.30 pagi ketika dia mengawal kawasan sempadan berhampiran pos kawalan M7.

Katanya, ketika itu dia terdengar bunyi enjin kereta dan menyangka penyeludup mahu membuka pagar sempadan.

"Namun secara tiba-tiba saya nampak seorang lelaki melepaskan tembakan sebanyak dua das. Ketika tembakan pertama dilepaskan, saya tergamam kerana menyangka dia hanya main-main.

"Tetapi ketika dia melepaskan tembakan kedua, saya nampak percikan api dan letusan di mini tar menyebabkan saya melarikan diri berlindung di tiang elektrik," katanya.

Bob Rizan berkata, sewaktu dia dapat mencekah senjata, penyeludup melarikan diri.

"Insiden itu membuatkan saya geram, kami ini bekerja dengan ikhlas untuk negara kami, musuh seperti simpan dendam," katanya,

Dalam pemeriksaan oleh PGA selepas itu, dua kelongsong peluru ditemui di kawasan pagar.

Tembakan itu dipercayai dilepaskan seorang lelaki yang berdiri berdekatan pagar keselamatan dalam kawasan Thailand.

Sementara itu, Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata pihaknya akan membuat kajian untuk memantapkan lagi sistem telekomunikasi di kawasan kawalan bagi memudahkan bantuan jika berlaku kecemasan.

"Kita sudah minta pegawai komunikasi semboyan untuk membawa usul ini kepada pihak atasan untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Abdul Ghani berkata, kejadian tembakan kelmarin tidak mematahkan semangat anggota Batalion 3 PGA malah mereka lebih bersemangat dalam menjalankan tugas.

Katanya, pasukan Batalion 3 Senoi Praaq adalah sangat berani dan bertugas dengan penuh kejujuran.

"Cuma jangan ajar mereka buat perkara yang betul sebab mereka ini sangat amanah dalam menjalankan tugas," katanya.

Berita Harian X