Khamis, 26 November 2020 | 7:24am
SAC Yahaya Othman, juruiring Yang di- Pertuan Agong menyampaikan watikah takziah kepada balu mendiang Sarjan Baharuddin Ramli ketika menziarahi keluarga berkenaan di Kampung Orang Asli Sungai Sampo. NSTP/ Ihsan Polis
SAC Yahaya Othman, juruiring Yang di- Pertuan Agong menyampaikan watikah takziah kepada balu mendiang Sarjan Baharuddin Ramli ketika menziarahi keluarga berkenaan di Kampung Orang Asli Sungai Sampo. NSTP/ Ihsan Polis

Balu Sarjan Baharuddin terima sumbangan dari Istana Negara

JEMPOL: Kematian mendiang Sarjan Baharuddin Ramli, 54 dalam kejadian tembakan di sempadan Malaysia - Thailand kelmarin mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al - Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Berikutan itu juruiring baginda, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Yahaya Othman hadir menyampaikan sumbangan kepada balu mendiang, Relow Ko di Kampung Orang Asli Sungai Sampo dekat sini, petang semalam.

Pada majlis itu Yahaya menyampaikan watikah ucapan takziah kepada keluarga mendiang selain menyerahkan sumbangan wang tunai RM5,000.

Relow ketika ditemui berkata, dia terharu dengan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap musibah yang berlaku kepada keluarganya.

"Saya tidak sangka, baginda akan menghantar juruiring baginda bagi menyampaikan sumbangan dan watikah ucapan takziah," katanya.

Terdahulu baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mendiang Koperal Baharuddin Ramli, yang meninggal dunia ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand pada awal pagi kelmarin.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Baharuddin, dan berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan ini.

Berita Harian X