Rabu, 25 November 2020 | 11:36pm
Lokasi kejadian tembakan membabitkan anggota Batalion 3 PGA yang sedang bertugas di Pos M16 di Bukit Kayu Hitam, petang tadi. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Lokasi kejadian tembakan membabitkan anggota Batalion 3 PGA yang sedang bertugas di Pos M16 di Bukit Kayu Hitam, petang tadi. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Anggota PGA ditembak dengan senapang angin

ALOR SETAR: Polis mengesahkan peluru yang mencederakan seorang anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang bertugas di Pos M16 di Bukit Kayu Hitam petang tadi, dilepaskan daripada senapang angin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata anggota berusia 26 tahun terbabit mengalami kecederaan pada perut dan sudah mendapat rawatan.

"Senjata yang digunakan dikenal pasti sebagai senapang angin dan anggota terbabit sudah membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam kira-kira jam 8 malam tadi.

"Siasatan lanjut kes berkenaan sedang dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Mengulas mengenai kemungkinan kejadian terbabit mempunyai kaitan dengan kes serangan ke atas anggota PGA di Padang Besar semalam, beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan itu.

"Bagaimanapun kita masih menjalankan siasatan sama ada kes ini ada kaitan dengan kes tembakan di Padang Besar, Perlis atau sebaliknya," katanya.

Dalam kejadian pada jam 6.15 petang tadi, seorang anggota PGA dilaporkan cedera ringan selepas terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand petang tadi.

Dalam kejadian itu, anggota terbabit sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam sebelum secara tiba-tiba terkena tembakan.

Berita Harian X