Rabu, 25 November 2020 | 9:22pm
 Universiti Malaya buat kali pertama disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik dunia apabila menduduki tempat kesembilan berbanding ke-13 pada penarafan tahun lalu
Universiti Malaya buat kali pertama disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik dunia apabila menduduki tempat kesembilan berbanding ke-13 pada penarafan tahun lalu

10 universiti tempatan disenarai 110 universiti terbaik Asia

KUALA LUMPUR: Sepuluh universiti tempatan membabitkan tujuh universiti awam dan tiga universiti swasta buat julung kalinya tersenarai dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia.

Mengikut laporan dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2021 hari ini, Universiti Malaya (UM) mendahului universiti tempatan lain selepas menduduki ranking kesembilan.

Ia diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) (ke- 28), Universiti Sains Malaysia (USM) (ke-34), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (ke-35), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (ke-39), Universiti Teknologi PETRONAS (ke-70), Universiti Taylor's (ke-89), Universiti UCSI (ke-105), Universiti Utara Malaysia (UUM) (ke- 107) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) (ke-108).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata perkembangan baharu itu adalah kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju sektor pendidikan tinggi negara berada di landasan betul.

"Tahun ini adalah separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan sudah menunjukkan peningkatan kualiti serta kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.

"Kejayaan ini juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia ini dan dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Noraini berkata, UM buat kali pertama berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia dalam penarafan kali ini dengan mendapat tempat kesembilan berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lalu.

Katanya, UM juga berjaya mengatasi Shanghai Jiao Tong University yang menduduki tempat ke-10 dalam penarafan tahun ini.

"Shang Jiao Tong University adalah universiti terkemuka yang memperkenalkan Academic Ranking of World Universities atau lebih dikenali sebagai Shanghai Jiao Tong University Rankings yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia.

"Laporan itu turut menyenaraikan UM, UPM, USM, UKM, UTM, UUM dan UiTM serta tiga universiti swasta iaitu Universiti Teknologi PETRONAS, Universiti Taylor's dan Universiti UCSI sebagai 110 universiti terbaik Asia atau 10 universiti terbaik Malaysia," katanya.

Noraini berkata bagi siri penarafan kali ini, 35 universiti tempatan tersenarai iaitu dengan pertambahan enam universiti baharu berbanding 29 universiti yang tersenarai pada tahun lalu.

"Sebanyak 24 universiti berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lalu, tiga universiti mengekalkan kedudukan dan dua universiti jatuh daripada kedudukan tahun lalu.

"Dalam Laporan QS itu juga dinyatakan bahawa Malaysia adalah antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik dalam penarafan kali ini. Sistem pendidikan negara diterima sebagai bereputasi tinggi dalam kalangan akademik dan majikan di peringkat Asia," katanya.

Berita Harian X