Rabu, 25 November 2020 | 1:13pm
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), mendiang Koperal Baharuddin Ramli.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), mendiang Koperal Baharuddin Ramli.

PARLIMEN: Dewan Rakyat rakam ucapan takziah

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), mendiang Koperal Baharuddin Ramli, yang terkorban dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Padang Besar, Perlis, awal pagi semalam.

Ucapan itu dizahirkan sebelum sesi jawab lisan di Dewan Rakyat bermula hari ini.

"Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada mendiang dan keluarga mendiang," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, turut merakamkan ucapan sama sebaik memulakan sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi Kementerian Dalam Negeri.

Selain itu, beberapa Ahli Parlimen lain turut menzahirkan ucapan takziah kepada mendiang dan keluarga ketika melakukan celahan pada sesi penggulungan, antaranya RSN Rayer (DAP-Jelutong) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (BERSATU-Libaran).

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mendiang dari Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) terbunuh dalam insiden berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand.

Seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, turut parah dalam kejadian itu dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.

Berita Harian X